BUKAN semua rakyat Malaysia mempunyai kesedaran berkaitan amalan menabung. FOTO Arkib NSTP
BUKAN semua rakyat Malaysia mempunyai kesedaran berkaitan amalan menabung. FOTO Arkib NSTP
Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

ALLAH SWT berfirman: “Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu beristirehat padanya dan (menjadikan) siang terang benderang (supaya kamu mencari kurnia Allah). Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang mendengar.” -(Yunus:67)

Menjadi lumrah dah fitrah kehidupan manusia bahawa sepanjang kehidupan di alam yang sementara ini, kita akan berhadapan dengan suka dan duka dan melalui segala onak dan ranjau dan seharusnya bersabar menghadapi mehnah dan tribulasi.

Penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini menjadi kerisauan alami dan sungguh ia meninggalkan pelbagai kesan sehinggakan banyak negara mengumumkan lockdown terhadap rakyatnya bagi membendung virus itu terus menular.

Malaysia juga tidak terkecuali apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April depan dan ia sedikit sebanyak mengubah kehidupan harian kita termasuk daripada segi kewangan terutama kepada individu yang terpaksa diberhentikan atau mendapat upah secara harian.

Bank Dunia dengan rasminya mengumumkan kemelesetan ekonomi tahap global dan kita sekarang berada dalam fasa kemelesetan ekonomi tahap global susulan kemelut Covid-19, lantas, semua bisnes di seluruh dunia terjejas dengan operasi mereka.

Menurut Bank Dunia kemelesetan ekonomi dialami ini mungkin lebih teruk daripada krisis kewangan 2008/2009 dan negara mana yang dapat keluar daripada kemelut Covid-19 paling cepat maka negara itu akan dapat pulih lebih cepat daripada kemelut terkini.

Di samping itu, Bank Dunia turut menjangkakan paling cepat ekonomi dunia akan pulih pada 2021, maka sebab itulah Bank Negara Malaysia dan Kerajaan Malaysia memberikan enam bulan moratorium kepada rakyat untuk menghadapi kelembapan ekonomi.

Nilai wang sepanjang enam bulan moratorium ini adalah sebanyak RM100 bilion dan sekarang bukan masa untuk mempertikaikan antara golongan T20 atau M40 atau B40, siapa dapat lebih siapa dapat kurang, hendak ambil atau teruja dengan panic buying.

Sekarang adalah waktunya untuk kita menilai semula tahap kewangan dan bukannya kalut dengan panic buying, tetapi kita harus memikirkan berjimat dan menumpukan kepada pembelian barangan yang perlu saja.

Kita harus menyedari sekarang kita dalam suasana yang berbeza dan minda kita harus terarah untuk menghadapi suasana yang berbeza dan kepada yang masih ada pekerjaan bersyukur dan pada masa sama kita bertawakal dan tidak berasa selesa, sebab macam-macam boleh terjadi.

Minda kita perlu dicerna dengan keadaan yang tidak menentu dan perlu bersedia daripada segi mental ataupun fizikal justeru kita berhadapan dengan hari-hari yang tidak menentu dan dunia perniagaan tidak kira besar atau kecil akan terjejas dan tidak mustahil akan ada yang gulung tikar.

Sekarang adalah masa untuk kita meningkatkan simpanan tunai kita dan memotong perbelanjaan yang tidak begitu penting kecuali keperluan harian makanan dan minuman serta perbelanjaan yang wajib seperti elektrik, air, bayaran sewa beli seperti rumah dan juga kenderaan dan bahan bakar.

Kita harus membuat perkiraan balik perbelanjaan kita berdasarkan keperluan vs kehendak sebab kita pun tidak tahu berapa lama lagi PKP akan dilaksanakan, lantas kita harus bersiap sedia untuk menghadapi ujian kehidupan kita yang terbiasa dengan kesenangan.

Berdasarkan kepada kajian oleh JP Morgan, Covid-19 mungkin akan memuncak pada pertengahan April, maka kita kena mematuhi saranan kerajaan untuk tinggal di rumah untuk mengelakkan daripada terkena jangkitan virus Covid-19.

Kita sewajarnya bersyukur dengan apa yang ada dan jika kita mempunyai wang yang lebih untuk diinfakkan kita boleh membantu mereka yang memerlukan kerana mungkin ada di luar sana yang bermasalah untuk sesuap nasi pagi dan petang.

Kita perlu ingat hari ini kita lebih beruntung berbanding orang yang mungkin tidak punya rumah untuk berteduh, tidak punya beras di rumah dan pada saat yang mencabar begini kita menghulurkan bantuan buat mereka dengan ikhlas untuk mendapat keredaan Allah.

Pada saat resesi terjadi dan perusahaan yang menjadikan aktiviti pekerja menurun, maka dana darurat atau tabungan akan sangat berguna untuk menyelamatkan kita daripada kesulitan hasil daripada keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Mungkin kita tiba-tiba dikejutkan dengan wabak Covid-19 yang melanda tanpa disangka dan kaitannya dengan ekonomi dunia yang turut menjejaskan kehidupan kita semua dan kita seolah-olah dikejutkan untuk menghayati budaya menabung untuk masa depan.

Lantas masa depan yang kita khuatiri itu ada pada saat ini apabila wabak Covid-19 melanda dunia dan sekali gus menjejaskan ekonomi dunia, maka kata-kata seperti ‘menabung menjamin masa hadapan’ itu baru memberi loceng amaran buat kita semua.

Bukan semua rakyat Malaysia mempunyai kesedaran berkaitan amalan menabung ini, lantas ada yang berkata macam mana hendak menabung, untuk mencari sesuap nasi seperti kais pagi makan pagi kais petang makan petang, maka menabung itu hanya menjadi retorik bagi orang yang mampu.

Sebenarnya masih belum terlewat untuk menyegarkan kembali budaya menabung, walaupun ada yang beranggapan ekonomi sudah di ambang tahap gawat dengan bisnes kecil-kecilan seperti menjual nasi lemak pun susah.

Ketika ini adalah masa untuk bangkit kembali selepas seluruh dunia terpukul dengan wabak Covid-19, lantas kita berharap suasana yang tidak menentu ini tidak akan berlarutan tanpa penghujungnya.

Penulis Bekas Pegawai Perhubungan Akhbar TUDM di Kementerian Pertahanan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 7:46 PM