FOTO Hairul Anuar Rahim
FOTO Hairul Anuar Rahim
Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

KESURAMAN ekonomi dunia mendepani suasana ekoran wabak Covid-19 yang tidak pernah dijangkakan kehadirannya bermula di Wuhan, China dan ia terus merebak ke seluruh dunia yang mengorbankan ribuan nyawa manusia.

Yang pasti ekoran daripada wabak Covid-19 memang memberi kesan dengan cara hidup kita dan kita menghadapi normal baru yang tidak pernah diharungi selama ini dan memang tidak pernah kita fikirkan natijah daripada wabak berkenaan.

Kita memang masih menyedut udara yang sama dan mendapat sorotan matahari yang sama, tetapi pola kehidupan berubah ekoran daripada wabak yang bersifat alami kerana fenomena Covid-19 menyerang mangsanya tanpa mengira miskin dan kaya.

Kita boleh bayangkan kesibukan barisan hadapan staf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menangani Covid-19 yang bertungkus-lumus bekerja siang dan malam bagi menangani mereka yang terlibat dengan serangan wabak berkenaan.

Kehadiran wabak ini ujian yang Allah SWT timpakan kepada hamba-Nya yang merentasi batas geografi di seluruh dunia baik negara kaya atau miskin dan dunia seolah-olah terpukau dengan kejutan yang tidak disangka-sangka.

Kita sedang melalui saat yang berbeza dan seluruh rakyat Malaysia menempuh dengan tabah cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19.

Tiba-tiba kita mengalami perubahan yang tidak pernah terlintas di minda kita sebelum ini dengan kesibukan lalu lintas dan orang ramai di tengah bandar tidak kelihatan, sekolah dan institusi pendidikan ditutup, hanya perkhidmatan penting dibenar beroperasi dan ramai memanfaatkan peluang 'cuti' ini untuk berada bersama keluarga.

Ramadan kita sambut bersama di rumah dan ketua keluarga menjadi imam solat Tarawih dan suasana puasa tahun ini berubah tanpa hiruk-pikuk manusia yang selalunya berpusu-pusu mencari juadah di bazar Ramadan.

Adakah kita semua sudah bersedia menghadapi suasana pasca PKP apabila ia ditamatkan dan mungkin ada yang beranggapan selepas saja PKP ditamatkan, kita akan menjalani kehidupan seperti dulu.

Rangkaian Covid-19 mungkin boleh dihentikan, tetapi untuk membunuh virus itu adalah sesuatu yang belum diketahui kerana belum ada penawarnya sehingga kini yang tuntas diketemukan, lantas, kita belum selamat sepenuhnya.

Kita tidak boleh membuat andaian apa sebenarnya yang akan terjadi, tetapi apa yang pasti selepas PKP kita semua sebenarnya akan menjalani kehidupan dengan kebiasaan baharu (new norm) sebagaimana diungkapkan Perdana Menteri dalam perutusannya.

Walaupun kita akan bebas keluar semula, namun kita kena akur pada keperluan mengamalkan jarak sosial (social distancing), keluar jika perlu dan terus pulang ke rumah selepas bekerja apatah lagi untuk menghadiri majlis yang melibatkan perkumpulan ramai seperti majlis perkahwinan, konvensyen dan sebagainya

Untuk beberapa tempoh, kita tidak dibenarkan keluar negara sehingga satu dunia bebas Covid-19 yang mungkin mengambil masa satu atau dua tahun demi kemaslahatan dan keselamatan kita semua.

Mungkin kalau selama ini kita biasa bersantai melepak di tempat awam, maka kebiasaan itu sewajarnya kita lupakan dan kita tidak digalakkan bercuti dan belegar di pusat beli-belah, pawagam ataupun pasar borong.

Apa yang akan terkesan adalah pemilik bisnes mikro dan mengalami kemerosotan disebabkan pelanggan hanya keluar membeli makanan apabila perlu saja dan pembelian talian menjadi normal baru yang menjadi alternatif pengguna.

Bisnes mikro juga akan terkesan seperti kilang pengeluar dan mungkin mereka akan mengurangkan jumlah pekerja dan sektor perhotelan, resort, kelab golf, kompleks perniagaan, taman tema juga akan kekurangan pelanggan.

Syarikat penerbangan juga akan terkesan apabila mereka hanya boleh beroperasi dalam negara yang sekali gus menjejaskan industri pelancongan kerana pergerakan yang terhad.

Syarikat penjualan kereta juga akan turut terjejas kerana faktor ekonomi akan memberi kesan kepada iklim perniagaan, maka dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, tidak ramai akan beli kereta baharu, lantas, bank juga menanggung risiko jika sanggup beri hutang dalam keadaan seperti sekarang.

Sektor pakaian dan servis kecantikan juga akan terjejas kerana pelanggan akan mengutamakan perbelanjaan dapur daripada kecantikan, lantas, masyarakat pengguna sudah mempunyai mindset yang baru untuk berbelanja apabila perlu.

Apabila disorot daripada perspektif global, sekiranya sokongan untuk ekonomi global yang bersepadu sudah menurun sebelum Covid-19 melanda, wabak ini mungkin akan mempercepat penilaian semula kos dan faedah globalisasi.

Syarikat yang merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan global sudah menyaksikan secara langsung risiko yang wujud dalam saling bergantung dan kerugian besar yang disebabkan gangguan dan pada masa depan syarikat tidak cenderung mengambil risiko.

Di pasaran baru muncul, yang merangkumi globalisasi termasuk pembukaan arus modal yang stabil, kita berisiko melihat kawalan modal dilaksanakan semula ketika negara berusaha untuk melindungi diri daripada ketidakstabilan untuk syarikat pembekal perubatan akan terus sukses kerana mempunyai permintaan yang tinggi.

Enam bulan yang akan datang, adalah tempoh kritikal yang lebih mencabar untuk rakyat menyediakan mental dan fizikal mengharungi dan menghadapi fasa pemulihan ekonomi.

Kita perlu berpandangan positif bahawa akan datang cahaya di hujung terowong untuk kita keluar daripada kemelut ekonomi global yang mengubah normal dan cara hidup kita yang baharu.

Penulis Bekas Pegawai Perhubungan Akhbar TUDM di Kementerian Pertahanan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 6:59 AM