Niezam Zaidi
Niezam Zaidi
Norhayati Nordin


Petaling Jaya : "Dia (Nonny) adalah hamba Allah yang baik, sangat suka bersedekah dan menjaga keluarganya. Saya tak nampak perkara lain dan hanya nampak perkara yang baik saja pada dia (selama saling rapat)," kata pelakon Niezam Zaidi, 31, ketika ditanya mengenai bekas kekasihnya iaitu pelakon Nonny Nadirah.

Baru-baru ini, Nonny, 35, mencetuskan kontroversi di media sosial apabila muncul berkongsi video dia membotakkan kepala serta kemudian membuat hantaran berkemban di bilik air untuk menjual produk.

Niezam ditemui berkata, dia terkejut dengan kisah Nonny yang tular di media sosial itu selepas mengetahuinya daripada orang lain dan hanya mampu mendoakan yang terbaik buat wanita terbabit.

"Saya mengharapkan dan berdoa agar Allah memberi hidayah kepada kita semua dan membawa kita ke jalan yang benar. Mungkin setiap perkara terjadi ini ada hikmahnya.

"Kita pun tidak berada dalam kasut dia (Nonny), jadi tak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Ini mungkin ujian untuk dia juga. Kita doakanlah yang baik-baik untuk dia sebab satu hari nanti kita tak tahu apa pula ujian kita," katanya kepada Harian Metro selepas menjayakan sesi fotografi drama Hai Cinta, Dengarkanlah di Sri Pentas TV3.

Ditanya juga sama ada dia masih mengikuti media sosial Nonny, Niezam berkata, dia tidak mengikuti akaun media sosialnya wanita itu selepas mereka tidak jadi kahwin, kira-kira empat tahun lalu.

"Saya tahu cerita itu (mengenai Nonny) daripada orang lain. Sebabnya, orang yang bertanya kepada saya dan saya jawab tak tahu saya. Ya, memang ramai yang bertanya.

"Cuma, ada yang saya boleh (jawab) saya layan. Ada juga yang DM (mesej langsung) pada saya, bertanya," katanya yang menyifatkan setiap dugaan menimpa seseorang itu kerana Allah sayangkan kita.

Terdahulu, Niezam dan Nonny pernah menjalin hubungan cinta sebelum ini hingga merancang melangkah ke fasa perkahwinan selepas menjalin kasih ketika digandingkan bersama dalam sebuah drama.

Bagaimanapun, perancangan perkahwinan itu tidak kesampaian apabila mereka akhirnya membuat pengumuman tidak jadi berkahwin pada Oktober 2020 lalu selepas berpisah secara baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 3:07 PM