ALYAH bersama anak angkaytnya, Nur Izzara.
ALYAH bersama anak angkaytnya, Nur Izzara.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur : "Walaupun dulu ramai yang dah nak beri (anak), tapi saya tak mahu sebab fikir komitmen ini bukan macam jaga kucing. Malah, kucing pun kita kena jaga betul-betul," kata penyanyi Datin Alyah, 43, mengenai pengambilan anak angkatnya, Nur Izzara yang berusia tiga bulan.

Alyah atau nama sebenarnya Nor Hasliah Abu Hassan berkata, dia sedar menggalas tanggungjawab sebagai ibu terhadap anak angkatnya itu bukan mudah berikutan banyak perkara perlu difikirkan terlebih dulu.

"Sekarang saya masih lagi dalam proses menyesuaikan diri mengasuh Nur Izzara yang kini baru berusia tiga bulan. Alhamdulillah, kehadirannya membawa perubahan besar dalam kehidupan saya dan suami, Tok Ram (Datuk Ramli MS).

"Kalau diikutkan, saya sebenarnya memang tak pernah rancang nak ambil anak angkat pun. Sebab, banyak perkara yang kita kena fikir terutama dari aspek penjagaan dan asuhan bayi.

"Apatah lagi, saya dapat bayi ini selepas dua hari dia dilahirkan dan kemudiannya dapat pula panggilan haji yang disifatkan limpahan rezeki buat saya sekeluarga," katanya enggan berkongsi sebab mengapa ibu bapa kandung Nur Izzara tidak boleh menjaganya.

Mengakui dia juga tiada pengalaman menamakan anak, Alyah berkata, rezeki nama Nur Izzara diperolehnya ketika berhenti berehat di sebuah restoran di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Ayer Keroh, Melaka.

"Pada masa anak kecil ini diambil, saya singgah di R&R Ayer Keroh dan nampak ada restoran yang nama Izzara di situ. Saya jadi tertarik dengan nama berkenaan (Izzara).

"Cuma, mulanya saya bercadang nak letak nama Izara Aishah, namun risau pula nanti orang keliru dengan nama pelakon Izara Aishah. Alhamdulillah, emak saya cadangkan letak Nur dan jadilah Nur Izzara," katanya.

Mengulas juga kesihatan dirinya yang sakit baru-baru ini selepas pulang dari mengerjakan haji, Alyah berkata, sekarang dia terpaksa menolak tawaran menyanyi selama dua bulan untuk berehat sehingga betul-betul pulih.

"Selepas mengalami batuk berpanjangan ketika di Tanah Suci, saya perlukan masa untuk merehatkan diri sehingga pulih. Alhamdulillah, tahap kesihatan saya kini bertambah baik walaupun tidak 100 peratus lagi," katanya.

Alyah mendirikan rumah tangga dengan Ramli pada 2013. Namun, mereka belum dikurniakan anak.

Bagaimanapun, Ramli yang pernah berkahwin dengan pengarah acara muzik tempatan iaitu Jennifer Thompson dikurniakan sepasang cahaya mata yang kini sudah dewasa dan mempunyai kerjaya masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 11:10 AM