RUHAINIES bangga andai digandingkan dengan idolanya itu.
RUHAINIES bangga andai digandingkan dengan idolanya itu.
Najiy Jefri


Kerap dikatakan memiliki wajah persis aktres jelita Nora Danish, pendatang baru Ruhainies enggan ambil pusing dan melihat perkara itu sebagai cabaran baginya untuk berjaya seperti Nora.

Ruhainies berkata, andai ditakdirkan berlakon bersama, dia tiada masalah sebaliknya berbangga kerana disatukan dengan idolanya itu.

“Sejak sekolah lagi, ramai yang mengatakan wajah saya seakan-akan dengan Nora Danish. Terus terang, saya tidak pernah berasa tak selesa. Bagi saya, ia satu cabaran dan persaingan yang sihat untuk menyedarkan saya bahawa perlu berusaha menjadi sukses sepertinya.

“Kalau berpeluang berlakon dengannya satu hari nanti, saya tidak akan menolak. Saya sangat mengagumi bakatnya. Dia pelakon berbakat besar dan berjaya dalam bidang seni tanah air,” katanya kepada RAP.

Dalam pada itu, ditanya mengenai hubungannya dengan seorang lagi pelakon baru Janna Nick yang dikatakan berantakan, Ruhainies enggan mengulas mengenai perkara itu.

“Kalau boleh saya tak mahu lagi bercakap mengenai isu antara saya dan dia. Sebenarnya saya tidak pernah menyangka masalah ini akan berlaku terhadap diri saya.

“Sebenarnya kami tidak bergaduh, cuma terasa hati apabila dia berbuat demikian. Saya berharap isu ini akan segera dihentikan kerana tidak mahu dikenali peminat disebabkan kontroversi negatif seperti ini,” katanya.

Perselisihan antara dua pelakon itu mula menjadi bualan apabila Janna dikatakan meminta pengarah Michael Ang untuk menyingkirkan Ruhainies sebagai antara teraju filem pertama arahannya, Kimchi Untuk Awak.

Salah faham itu bagaimanapun, terlerai apabila Ruhainies memilih untuk berdamai.

Namun, tindakan Janna yang memuat naik video penjelasan Michael itu menghangatkan semula isu berkenaan.

Mengukuhkan lagi andaian itu apabila Janna menulis status yang dianggap boleh menutup periuk nasi Ruhainies, sekali gus mencalar imej pelakon itu.

Menganggap yang berlaku sebagai ujian yang harus dihadapi dengan tenang, dia tidak pernah menyesal dengan kekalutan yang berlaku dan sudah memaafkan atas apa yang telah terjadi.

Dalam perkembangan lain, pelakon yang mula dikenali peminat menerusi drama Hello Mr Perfect itu sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Menantu Ting Tong yang bakal ditayangkan bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 10:12 AM