Sharisa Haris.
Sharisa Haris.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: "Saya pernah buat pelbagai kerja bermula sebagai tukang cuci, pelayan (waiter) dan tukang bakar sate untuk menampung kehidupan. Tiada istilah malu kerana saya buat kerja halal," kata pelakon Sharisa Haris, 35, ketika mengulas perkembangan dirinya selepas tidak aktif berlakon sejak lima tahun lalu.

Sebelum ini, perkongsian video yang dimuat naik Sharisa yang juga dikenali sebagai Akak Sado Tampin di TikTok mengenai liku-liku dilalui dalam perniagaan selepas tidak aktif berlakon menjadi tular di media sosial.

Sharisa atau nama sebenarnya, Sharisa Haris Chong berkata, tujuan dia memuat naik video berkenaan bukan untuk meraih simpati ramai.

Namun, dia sangat terharu apabila ramai rakan artis menghubunginya mahu memberi bantuan.

"Saya bukan minta bantuan kewangan. Saya cuma kongsi realiti yang dihadapi. Saya juga menolak bantuan wang kerana saya masih sihat untuk bekerja," katanya kepada Harian Metro.

Sharisa yang pernah tercalon dalam Top 5, kategori Pelakon Drama Terbaik TV, Anugerah Skrin (ASK) 2014 menerusi drama Matahari Terbit Lagi berkata, dia memilih untuk menceburi bidang perniagaan makanan dan minuman untuk menyara kehidupan sejak 2017.

"Selepas tercalon dalam Top 5, ASK2014, orang takut nak panggil saya berlakon dan tawaran juga semakin berkurangan apatah lagi bila sudah bertudung pada 2019.

"Justeru, saya tiada pilihan dan percaya bidang perniagaan adalah cara untuk meneruskan kehidupan kerana sudah terdedah dengan perniagaan kedai makan sejak kecil.

"Saya percaya, mungkin Allah SWT mahu saya fokus pada bidang perniagaan pula. Alhamdulillah, kini saya sudah memiliki restoran di Tampin, Negeri Sembilan dengan 30 orang kaki tangan.

"Hampir 10 tahun dalam industri seni tanah air, baru kini saya sedar bakat saya sangat dihargai kerana rata-rata komen yang diberikan sangat positif dan ramai yang minta saya kembali berlakon.

"Saya tak pernah cakap sudah berhenti berlakon kerana menceburi perniagaan untuk menyara kehidupan bersama keluarga," kata ibu kepada dua anak ini.

Ditanya tawaran berlakon pula, kata Sharisa, dia berharap diberikan watak yang sesuai dengan penampilannya sekarang.

"Minat berlakon takkan pernah hilang cuma mungkin belum ada ruang dan peluang. Saya yakin rezeki itu urusan-Nya. Tapi saya tak pernah berhenti berharap untuk kembali berlakon," katanya.

Kali terakhir dia berlakon menerusi drama Adelle Sofea arahan Shahrulezad Mohameddin pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 2:28 PM