FATHIA Latiff. FOTO Arkib NSTP
FATHIA Latiff. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Kenapa saya nak kena kongsi dengan orang yang saya tak kenal? Golongan seperti ini memang suka nak tahu perkara yang sepatutnya menjadi sesuatu yang peribadi."

Demikian kata pelakon Fathia Latiff mengenai kebiadapan segelintir pihak yang mendakwanya mempunyai masalah kesihatan mental sekali gus meminta penjelasan segera.

"Mengenai masalah kesihatan, saya tak nak kongsi. Ia adalah sesuatu yang peribadi," katanya ringkas.

Dalam masa sama, Fathia mendakwa sudah mengeluarkan saman kepada beberapa pihak yang menyerangnya sesuka hati di media sosial secara senyap.

"Sekarang ni saya dah keluarkan banyak saman yang orang tak tahu lagi. Saya sendiri tak boleh bagi tahu pihak mana yang saya dah saman tapi memang ada. Jadi tunggu sahajalah surat saman saya.

"Apa yang buatkan saya saman mereka adalah apabila mereka ingat saya lemah. Padahal mereka tak tahu saya sedang buat sesuatu di belakang mereka.

"Mereka tak tahu bagaimana saya menyerang mereka semula. Jadi, berjaga-jaga kerana ada komen yang tidak sepatutnya akan saya balas semula," katanya.

Menurut Fathia lagi, tindakan saman yang dibuat antara lain adalah untuk mempertahankan dirinya daripada terus dibuli.

"Saya bukan jenis 'fake'. Ada sesetengah selebriti yang 'fake', mereka boleh bertahan, mungkin kerana mereka ada 'back up' tetapi saya ada diri sendiri.

"Itu adalah satu-satunya cara dan saya harus pertahankan hak dan diri saya… Saya baik-baik sahaja.

"Saya tak percayakan sesiapa. Saya hanya percayakan diri sendiri sahaja. Saya tak percaya orang 100 peratus. Mungkin saya percaya hanya 70 sehingga 80 peratus sahaja, bukan sepenuhnya.

"Setiap orang perlu jaga periuk nasi masing-masing, kena berhati-hati sahajalah kerana kifarah adalah sesuatu yang benar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 3:55 PM