NEELOFA rai Aidilfitri secara ringkas dan sederhana.
NEELOFA rai Aidilfitri secara ringkas dan sederhana.
Syafil Syazwan Jefri


SAMBUTAN Aidilfitri buat keluarga kecil pelakon dan pengacara, Neelofa nampaknya serba ringkas dan sederhana.

Bukan tahun pertama meraikan Aidilfitri dalam serba ringkas, isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail itu juga berkongsi mengenai sambutan perayaan mereka di Kuala Lumpur.

"Aidilfitri ini sama seperti tahun sebelum ini, lebih ringkas. Memang kami meraikan di Kuala Lumpur. Sejak pandemik, kami semua beraya di Kuala Lumpur.

"Keluarga suami pun semua di Kuala Lumpur. Jadi, senang. Persiapan kami sangat ringkas, satu baju saja untuk semua ahli keluarga. Baju tahun lalu pun ada yang belum sempat dipakai, jadi kami pakai apa yang ada. Kemudian, kami akan tukar dengan baju biasa," katanya.

Neelofa turut berkongsi mengenai Ramadan tahun ini yang dipenuhkan dengan aktiviti keagamaan di samping menggalas tugas sebagai ibu kepada dua cahaya mata.

"Ramadan kali ini antara yang paling bermakna sebab tak sibuk dan banyak masa boleh saya habiskan di rumah. Ia Ramadan yang ada rutin ringkas, namun bermakna. Dari jam 4.30 pagi, rutin saya bermula dan lebih kepada amal ibadah.

"Apabila duduk di rumah, memang uruskan kedua-dua anak. Sepanjang hari itu, ada urusan kerja sebagai ibu, namun masih dapat diuruskan," katanya.

Mungkin kerana didikan Neelofa dan suami membuatkan anak sulung mereka, Muhammad Bilal 'jatuh cinta' kepada bacaan al-Quran.

"Sebenarnya itu adalah rezeki dan anugerah Allah. Dia minat dengan al-Quran dan bacaan. Tak ada paksaan. Memang dari kecil, sesiapa baca al-Quran saja, dia akan pergi dengar.

"Kalau nenek dia baca ke, abah dia baca ke, dia akan terus pergi. Dia akan duduk dekat-dekat. Itu rezeki yang Allah beri dekat dia sebab dia ada minat itu.

"Kalau kata apa-apa surah pendek dalam juzuk 30, dia boleh sambung dan ingat. Budak kecil senang menyerap. Antara surah dia suka, surah Al-'Asr," katanya.

Lebih menyentuh hatinya sebagai ibu adalah apabila Bilal mula dapat membaca beberapa ayat dalam surah Yasin.

"Paling saya terkejut, dalam juzuk 30 itu memang banyak yang dia dah hafal seperti yang pernah dikongsikan sebelum ini. Tambahan lagi, yang paling saya terkejut dengan suami, bila baru-baru ini, beberapa ayat dalam surah Yasin itu, dia ingat," katanya.

Terbaharu, program bual bicara kendaliannya, Next To Neelofa kini sudah melangkah ke musim ketiga dan menyajikan empat tetamu jemputan.

"Untuk Next To Neelofa musim ketiga ini, saya dihadirkan dengan dua tetamu yang kedua-duanya lebih 20 tahun dalam industri, saya dapat rasakan aura mereka berbeza.

"Mereka yang bukan dari zaman media sosial ini, nilai yang mereka bawakan dalam industri ini berbeza. Saya ada di fasa sebelum media sosial sekejap. Jadi, saya dalam pertengahan. Jadi, kita dapat bezakan selebriti sebelum dan selepas media sosial, ada perbezaan yang sangat ketara.

"Untuk saya menemu bual mereka, untuk mereka meluah dan menceritakan kisah mereka dari awal jejak masuk dalam industri memang sangat berharga.

"Anda mesti tak pernah tahu bahawa Nora Danish pernah minum air paip sebab takut dan malu nak minta air. Saya pun macam wow," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 6:20 AM