TASH Yong bersama suaminya, Boss Kay.
TASH Yong bersama suaminya, Boss Kay.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Tash Yong, 34, kini hamil lima bulan dan bersyukur hari ini genap setahun dia mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan, Khaireel Azlee Abdul Aziz atau lebih dikenali, Boss Kay.

Tash berkata, pada 8 April tahun lalu, dia sah bergelar isteri Boss Kay ketika Ramadan dan Nuzul Quran. Kini menghitung hari meraikan sambutan Aidilfitri kali kedua sebagai suami isteri.

"Alhamdulillah, saya sekarang hamil anak sulung lima bulan dan bersyukur Allah izinkan kami berdua berpuasa bersama serta meraikan ulang tahun perkahwinan hari ini.

"Tak sabar nak makan rendang dan kuah kacang, air tangan ibu mentua saya yang menjadi tulang belakang memberi sokongan kepada saya untuk memulihkan jiwa ini. Ibu mentua saya juga selalu bertanya khabar dan ambil berat terhadap kami," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Tash atau nama sebenarnya, Nur Natasha Shazlia Rosli, dengan segala kisah sensasi dilaluinya selepas bernikah dengan Boss Kay, kini dia yakin pada istilah 'pelangi muncul selepas hujan' untuk menjadi pemangkin semangatnya bangkit dalam kehidupan.

"Saya percaya setiap ujian ada hikmahnya dan janji Allah itu pasti. Alhamdulillah, kini saya lebih tenang walaupun sabar itu bukan mudah. Tapi, ia teramatlah nikmat dan walau apapun yang berlaku dan orang nak cakap, hanya Allah yang tahu segalanya.

"Terima kasih kepada semua saya ucapkan atas segala doa yang baik-baik itu. Buat suami, terima kasih juga sebab sanggup layan kerenah saya yang macam-macam dan selalu masakkan makanan enak untuk saya," katanya.

Pelakon drama Menantu Ting Tong di TV3 ini berkata, semoga rumah tangga dibinanya itu kekal bahagia, tenang dan mendapat keberkatan daripada Allah di dunia dan juga akhirat.

Tash dan suaminya, Boss Kay yang dikenali sebagai TikTok Guru dalam kalangan TikToker berkenalan pada hujung 2022 dan hubungan mereka menjadi rapat pada tempoh yang singkat.

Pasangan ini juga pernah hangat di media sosial apabila Tash didakwa menjadi isteri ketiga Boss Kay selepas muncul pengakuan seorang wanita di TikTok memaklumkan dirinya adalah isteri kedua lelaki itu.

Bagaimanapun, difahamkan Boss Kay sudah menceraikan kedua-dua isterinya dan menerusi hasil perkongsian hidup dengan dua wanita berkenaan, Boss Kay sudah memiliki empat anak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 4:34 PM