Nazim Othman
Nazim Othman
Norhayati Nordin


Petaling Jaya: Pelakon, Nazim Othman, 40, mengakui dia sentiasa berdoa meminta agar Allah memberikan teguran kepadanya dalam keadaan paling lembut sebagai peringatan terhadap setiap kekhilafan dilakukannya.

Nazim atau Nushrul Alif Othman berkata, dia tidak mahu Allah menegurnya dengan memberikan kesakitan sebagaimana yang pernah dihidapi sebelum ini kerana menyifatkan ia begitu berat untuk ditanggung.

"Doa saya setiap malam panjang antaranya ialah memohon kepada Allah agar memberi petunjuk dan hidayah buat saya dengan cara yang paling lembut, paling lembut itu yang saya tekankan.

"Jadi, apabila tengok semula video saya mencium Penjuru Yamani iaitu bahagian batu asal Kaabah yang tidak diubah ketika mengerjakan umrah pada tahun lalu tular, saya hanya mampu menangis dan menangis saja.

"Sebabnya saya tahu Allah sudah menegur saya dengan cara yang amat lembut," katanya mengakui banyak dugaan besar pernah dilaluinya sebelum ini di dalam kehidupan.

Menurut Nazim, sebagai manusia biasa secara umumnya kita semua memang tidak terlepas daripada masalah dan masing-masing sudah tentu ada ujian kehidupan berbeza- beza yang pernah dihadapi.

"Cuma, saya tidak mahu Allah menegur dengan memberikan saya kesakitan lagi. Banyak benda-benda besar pernah berlaku dalam kehidupan saya seperti sakit itu (ketumbuhan di kepala), kemalangan dan perceraian dalam rumah tangga.

"Itu adalah ujian kehidupan saya. Tapi, ingin diingatkan untuk renungan kita semua agar teruskanlah berdoa kepada Allah memohon perlindungan dan rahmatnya walaupun kita tidak terlepas daripada berbuat dosa.

"Jangan pernah kita berasa malu untuk terus meminta kepada Allah. Sebelum tidur amalkan selalu memohon ampun kepada-Nya di atas semua dosa kita lakukan pada hari itu sama ada yang disedari atau pun tidak," katanya.

Sempena Ramadan ini, Nazim muncul membintangi drama Wanita Syurga dengan watak Luqman disiarkan di Akasia TV3 jam 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat mulai 15 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 2:55 PM