MUSIBAH adalah perkara tidak boleh diduga oleh manusia. FOTO Adi Safri
MUSIBAH adalah perkara tidak boleh diduga oleh manusia. FOTO Adi Safri
Mohd Ajib Ismail


ORANG Mukmin itu apabila ditimpa musibah dalam kehidupannya, maka dia mengucapkan “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Amalan ini selaras dengan maksud firman Allah SWT di dalam al-Quran: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah ayat 155-157).

Musibah adalah perkara yang tidak dapat diduga oleh manusia. Bagaimanapun, musibah juga adalah ujian dan lumrah dalam kehidupan.

Ia boleh datang pada bila-bila masa. Oleh itu, kita perlu sentiasa mempersiapkan diri untuk sebarang kemungkinan sekiranya didatangi musibah.

Musibah mungkin hadir dalam pelbagai bentuk seperti kehilangan, kematian, kecelakaan, kemalangan, kemusnahan, kesakitan, kesengsaraan, bencana alam atau wabak penyakit.

Sewaktu ditimpa musibah, beberapa perkara boleh dilakukan antaranya ialah dengan bersabar dan berdoa agar segala urusan dipermudahkan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya hal itu sangat berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk, (iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Rabb mereka dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.” (al-Baqarah: 45-46).

Sebagai Mukmin, kita dituntut memperbanyakkan doa agar diberikan kekuatan menghadapi sebarang jenis musibah dan ujian serta berdoa agar musibah yang datang boleh kita hadapi.

Beberapa doa yang diajar Rasulullah SAW agar dijauhkan daripada perkara memudaratkan sebagaimana diriwayatkan sebahagian sahabat Nabi SAW.

Antaranya: Daripada Uthman bin Affan berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Sesiapa yang membaca: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh. Dan barang siapa yang membacanya ketika Subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” Riwayat Abu Daud (No. 5088).

Di samping berdoa memohon pertolongan daripada Allah SWT, kita juga dituntut agar bermuhasabah punca sesuatu musibah itu melanda.

Justeru kita disarankan agar memperbanyakkan istighfar dan merenungi dosa-dosa yang pernah kita lakukan.

Musibah juga mungkin berlaku disebabkan perbuatan dan kealpaan manusia sendiri.

Oleh itu, kita hendaklah berusaha menjauhkan diri dari melakukan sebarang tindakan yang mengundang kerosakan dan kebinasaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” Surah Ar-Rum (ayat 41).

Penulis adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 7:05 AM