Thalia bersama bapa.
Thalia bersama bapa.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon filem Penanggal,  Datin Thalia Baiduri bersyukur apabila dapat bertemu semula dengan bapanya selepas 30 tahun terpisah.

Thalia yang berkongsi detik indah di akaun TikTok miliknya itu berkata, dia mahu terus berbakti kepada lelaki yang dihormati dalam hidupnya itu.

"Alhamdulillah Ramadan kali ini saya dapat cium tangan papa dan jumpa dia sebelum kita berpuasa.

"Bagi saya sebagai anak, sementara kita ada peluang lebih baik jangan buang masa dan gunakan sebaik mungkin," katanya yang mesra disapa Bunda Lia.

Pertemuan dengan bapanya itu mendapat maklum balas positif daripada pengikutnya.

Thalia berkata, dia tidak langsung menyimpan dendam atas apa yang berlaku sebaliknya menganggap ia takdir yang tertulis. 

"Tidak perlu ada rasa dendam. Biarkan apa yang berlaku terus berlalu pergi. Kita anak-anak kena berusaha berbakti kepada orang tua kita. 

"Bila jumpa papa, nampak senyuman di wajahnya sudah buat hati saya lega dan tenang," katanya yang mengusahakan perniagaan produk kecantikan Dolly Milk dan fesyen jenama Talia. 

Rata-rata netizen bersetuju dengan Thalia dan memuji tindakannya yang memuliakan bapa meskipun terpisah lama. 

"Ustaz cakap mak ayah tak pernah salah walaupun buruk macam mana! Nangis weh dengar," kata seorang netizen. 

"Terbaik datin, suka hati baik datin," tulis seorang netizen yang memuji kakak kepada usahawan Madammu itu. 

Bercerita lanjut, Thalia mengakui kerap berhubung dengan bapanya selepas pertemuan semula Januari lalu dan sering bertanya khabar. 

Pelakon drama Cinta Dalam Hati bergandingan bersama Remy Ishak ini berkata, walau sibuk jangan abaikan ibu bapa sementara mereka masih ada. 

"Doa ibu bapa dan peluang melihat mereka adalah satu anugerah paling mahal bagi setiap anak. Jangan sia-siakan," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 8:42 PM