Fasha Sandha
Fasha Sandha
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Fasha Sandha terpaksa 'membuang' watak Puteri yang dibawakannya dalam drama Malang Si Puteri di Indonesia kerana jiwa Puteri itu masih melekat dalam fikirannya.

Fasha berkata, itu adalah impak daripada watak yang dijayakannya sepanjang enam bulan penggambaran drama bersiri arahan pengarah Uchee Fukada itu.

"Memang satu proses mencabar juga untuk saya masuk dan keluar dari watak Puteri ini memandangkan penggambarannya memakan masa selama enam bulan.

"Apabila saya dah habis jalani penggambaran pun, watak Puteri itu masih lagi 'melekat' dalam kepala saya.

"Solusinya, saya ajak keluarga bercuti di Indonesia, habiskan masa untuk 'healing' di pantai. Saya tinggalkan watak Puteri itu di sana, kemudian, barulah saya boleh balik," katanya kepada Harian Metro.

Kini, Fasha kembali ke set penggambaran naskhah lain dan menyerap jiwa watak lain selepas berjaya meninggalkan watak Puteri.

"Hari ini, saya ada penggambaran untuk naskhah lain dengan watak berbeza. Mujurlah saya dah tinggalkan Puteri dan masuk menjiwai watak seterusnya pula," katanya.

Selain Fasha, drama bersiri 50 episod yang ditayangkan Isnin lalu itu turut dibintangi Raja Azura, Wan Raja, Aidit Noh, Malek McCrone, Hafreez Adam dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 4:14 PM