Nurul Shuhada hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu bagi sebutan kes dicederakan bekas suami, Hafidz Roshdi, tahun lalu. FOTO ROHANIS SHUKRI
Nurul Shuhada hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu bagi sebutan kes dicederakan bekas suami, Hafidz Roshdi, tahun lalu. FOTO ROHANIS SHUKRI
Najiy Jefri


Kuala Kubu Bharu : Perbicaraan pelakon, Hafidz Roshdi yang didakwa menumbuk pipi kiri bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri sebanyak tiga kali hingga luka yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini ditangguhkan ke Julai depan.

Hakim, Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret menetapkan tarikh baharu perbicaraan itu selepas peguam yang diwakili Hafidz iaitu Meor Hafiz Salehan memaklumkan anak guamnya mengalami masalah kesihatan dan mendapat cuti sakit.

Ketika prosiding dijalankan, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan turut mengesahkan tertuduh tidak dapat hadir kerana sakit.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 2 dan 3 Julai depan bagi tarikh baharu perbicaraan selepas mendengar makluman kedua-dua pihak.

Pada 13 Mac tahun lalu, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya (ketika kejadian) sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, di sini.

Mengikut pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, (ketika kejadian) sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 3.22 pagi pada 2 Mac tahun lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Hafidz kemudian dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, mahkamah sama diberitahu, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan.

Pada 29 Mac tahun lalu, Hafidz dihantar ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 3 tahun.

Pasangan itu sah bercerai talak satu pada 27 Julai tahun lalu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 1:35 PM