Lan akui serba salah orang ramai salahkan penguatkuasa MPSJ.FOTO NSTP
Lan akui serba salah orang ramai salahkan penguatkuasa MPSJ.FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Subang Jaya: "Itu memang saya dan saya minta maaf. Saya janji takkan buat lagi."

Itu kata-kata pelakon dan pelawak popular Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet ketika diminta mengulas mengenai video yang memaparkan dia mengamuk dan memarahi anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari di USJ 10, Subang Jaya itu, Lan dilihat bertengkar dengan anggota penguatkuasa selepas mereka mengunci tayar kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux miliknya yang diletakkan di depan sebuah bank.

Video berdurasi kira-kira seminit itu turut memaparkan Lan memarahi individu yang merakamkannya.

Lan ketika dihubungi berkata, apa yang berlaku itu adalah atas kesalahannya sendiri selepas tidak meletakkan kereta di kawasan parkir yang disediakan.

"Pihak MPSJ sudah menjalankan tugas dan kewajipan mereka. Saya sendiri jadi serba-salah apabila ramai yang menyalahkan penguatkuasa MPSJ apabila video itu menjadi ‘viral’ semalam, sedangkan saya sebenarnya yang melakukan kesalahan.

"Saya tidak menyalahkan mereka mengambil tindakan mengunci tayar kereta saya. Walaupun ketika itu isteri saya sedang menunggu dalam kereta lain di belakang kereta saya, ia tetap satu kesalahan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Lan yang juga anggota kumpulan Senario, kejadian itu memberikannya satu pengalaman dan pengajaran baru.

Bagi Lan, bergelar selebriti bukan alasan untuk tidak mematuhi undang-undang yang sudah ditetapkan.

“Saya juga mahu menasihati orang ramai dan rakan artis untuk tidak sewenang-wenangnya membuat kesalahan jalan raya. Kalau mengetahui ia memang salah sendiri, segeralah meminta maaf," katanya.

Lam berkata, perkara itu sudah diselesaikan selepas dia menjelaskan kompaun berjumlah RM80 kepada MPSJ.

Dalam pada itu, Lan turut terkilan apabila pihak terbabit menyebarkan video berkenaan.

"Saya tak pasti siapa yang merakam video itu. Disebabkan mereka juga perkara ini kecoh dan ramai yang menyalahkan anggota penguatkuasa MPSJ. Pendek kata individu berkenaan cuba mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku.

“Apa pun perkara ini sudah diselesaikan dengan cara baik dan saya pun sudah membayar kompaun. Saya hormat mereka kerana masih boleh dibawa berbincang walaupun selepas saya memarahi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 9:15 PM