BABAK aksi dalam filem Jiwa 8 Belas.
BABAK aksi dalam filem Jiwa 8 Belas.
Najiy Jefri


Penerbit dan pengarah, S Baldev Singh percaya potensi besar filem aksi Jiwa 8 Belas yang mula ditayangkan di pawagam Khamis lalu.

Justeru beliau tidak menolak kemungkinan filem yang membariskan pelakon seperti Sophia Albarakbah, Shah Hazvee, Izuan Razali, Datuk Fauziah Nawi, Datuk Jalaluddin Hassan dan ramai lagi bakal muncul dengan sekuelnya yang masih dalam perancangan.

Menurut Baldev, filem Jiwa 8 Belas terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu mempunyai prospek cerah.

"Filem ini mempunyai kekuatan dari segi jalan cerita dan mesej untuk disampaikan pada penonton.

"Ia berkisar kepada kisah anak luar nikah dan sebagai ibu bapa, kita perlu mengawal anak remaja yang berusia 18 tahun daripada terjebak dalam gejala sosial," katanya.

Tambahnya, pihak produksi serta barisan pelakon memberi komitmen terbaik merealisasikan filem ini.

"Pemilihan barisan pelakon dilakukan menerusi proses uji bakat dan ketika itu ada sebahagian daripada mereka juga belum dikenali ramai.

"Kami yakin jalan cerita ini mengupas isu menarik. Begitupun terpulang kepada penonton untuk menilainya," katanya.

Baldev juga memberitahu pihaknya akan terus berkarya dengan mengetengahkan isu menarik jika semuanya berjalan lancar.

 JIWA 8 Belas kupas isu keluarga.
JIWA 8 Belas kupas isu keluarga.

"Kalau sudah ada bajet untuk meneruskan projek seterusnya dan bila-bila masa pun kami boleh mulakan projek sekuel filem ini," kata Baldev yang turut berkongsi penggambaran filem Jiwa 8 Belas bermula pada 2020.

Kata Baldev lagi, dia menerbitkan filem dengan duitnya sendiri dengan bajet mencecah RM1 juta tanpa mendapat dana daripada mana-mana pihak.

"Sebagai pengarah berpengalaman, saya tidak berdepan cabaran bekerjasama dengan pelakon baharu kerana apa yang penting, mereka boleh dibentuk dan bekerja keras untuk watak masing-masing.

"Saya berpuas hati dengan prestasi lakonan Sophia, Shah Hazvee dan Izuan kerana berjaya menjiwai karakter dengan baik," katanya.

Jiwa 8 Belas mengisahkan pasangan kekasih melalui pengalaman pahit apabila mereka diculik sekumpulan samseng yang memperdagangkan wanita ke Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 6:21 AM