Kieran Culkin
Kieran Culkin
Agensi

Los Angeles : Pelakon terkenal Amerika, Kieran Culkin, 42, memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik kategori drama bersiri di Anugerah Emmy 2024 yang berlangsung di Peacock Theater Los Angeles hari ini.

Kejayaan Culkin melakonkan watak utama dalam drama Succession membolehkan dia mengatasi pencabar hebat lain seperti Jeff Bridges (The Old Man), Brian Cox dan Jeremy Strong (Succession),Bob Odenkirk (Better Call Saul) dan Pedro Pascal (The Last of Us).

Culkin meneruskan kecemerlangannya selepas melakar sejarah memenangi anugerah Golden Globe dan Critics Choice Award, minggu lalu.

Menurut Culkin, kejayaan yang dicapainya adalah hasil daripada penulisan skrip yang cemerlang dan sokongan padu daripada rakan-rakan seperjuangannya dan membolehkan dia memainkan watak dengan sempurna.

"Kemenangan itu adalah Emmy pertama saya dalam siri HBO popular dan baru sahaja tamat pada Mei lalu selepas empat musim ditayangkan.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya, terutamanya ibu dan isteri, serta kepada pengurus yang setia menguruskan saya selama 29 tahun, atas segala sokongan yang diberikan. Sebelum mengakhiri ucapannya, Culkin sempat menyatakan hasratnya untuk menambah zuriat bersama isteri tercinta, Jazz Charton.

"Terima kasih kerana berkongsi kehidupan dengan saya dan memberi saya dua anak yang hebat, Kinsey Sioux dan Wilder Wolf. Saya sangat sayang dan mencintai kamu sangat-sangat. Jazz, saya nak menambah banyak lagi," katanya.

Succession turut memenangi kategori Drama Bersiri Terbaik di anugerah itu.

Turut melakar sejarah memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Drama Bersiri adalah Sarah Snook manakala Siri Komedi Terbaik dimenangi oleh The Bear.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 5:03 PM