Suhaila Khairie


Kuala Lumpur : Berita pemergian wartawan hiburan Malaysia, Fiza Kamarudin, 40, di Hospital Charing Cross, London akibat pendarahan dalam otak semalam turut mengundang sebak rakan-rakan artis tanah air.

Tinjauan Harian Metro di media sosial termasuk X dan Instagram mendapati beberapa hantaran berkenaan perkhabaran kehilangan wartawan itu dimuat naik dan dikongsi kepada peminat mereka.

Antaranya usahawan dan selebriti terkenal, Neelofa yang mendedahkan Fiza adalah rakan media yang bersamanya dari awal pembabitan dalam dunia seni.

"Inna lillahiwa inna ilaihi rajiun. Kak Fiza telah pergi meninggalkan kita. Mohon semua sedekahkan Al-Fatihah buat insan yang sangat baik hati ini. Semoga urusan keluarga arwah dipermudahkan," tulisnya dalam hantaran di X miliknya.

Turut berkongsi berita duka itu adalah pelakon, pengacara dan pelawak, Didie Alias; penyanyi dan Chef Selebriti Datuk Fazley Yaakob, Danial Zaini, Zalif Sidek dan Achey Bocey menerusi hantaran di Instagram.

Didie menitipkan ucapan takziah serta mendedahkan Fiza adalah sahabat media yang sangat periang walaupun berada dalam keadaan sakit dan tetap meneruskan perjuangan untuk menulis cerita anak-anak seni.

"Fiza terima kasih kerana menjadi sahabat media yang sangat baik, sangat komited. Kami semua akan merindui kau. Semoga Allah SWT tempatkan kau bersama insan-insan yang beriman. Kau pergi pada hari yang baik.

"Semoga kau tenang disana. Al-Fatihah buat Arwahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin," tulisnya dalam hantaran di Instagram.

Pada masa sama, segelintir artis lain juga turut meninggalkan komen dan menitipkan salam takziah buat Fiza menerusi hantaran yang dimuat naik akaun Instagram @astrogempak.

Terdahulu, Fiza atau nama sebenarnya Siti Nor Hafiza Kamarudin yang juga pengarang di portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia dilaporkan dilaporkan kritikal apabila rebah dan tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, kelmarin.

Difahamkan, kejadian berlaku beberapa jam sebelum Fiza bersama keluarga sepatutnya berlepas pulang ke tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 5:27 PM