Shahrulezad Mohameddin
Shahrulezad Mohameddin
Norhayati Nordin

 

Putrajaya : Penerbit dan pengarah drama, Shahrulezad Mohameddin menafikan dia cuba 'menongkah arus' dalam berkarya, namun menganggap dirinya yang juga penulis skrip sebagai pencerita atau penglipurlara.

Shahrulezad ketika ditemui berkata, pengalaman lebih 30 tahun sebagai pengkarya dalam industri hiburan membuatkan dia perlu kreatif berikutan pelbagai genre cerita sudah dihasilkan hingga kadang-kala terasa seakan kehabisan idea.

"Apa yang saya cuba hasilkan di dalam karya-karya terbitan Radius One bukan ingin 'menongkah arus' dengan membawa kisah yang sensasi, tapi ia adalah tanggungjawab sebagai pencerita atau penglipurlara untuk sesuatu cerita itu.

"Sebagai penulis skrip, saya cuba menghasilkan karya yang sama-sama dapat mendidik kita menerusi penyelidikan cerita yang dibuat. Sebenarnya, ketika membuat 'research' (kajian) banyak memberi maklumat dan ilmu baharu kepada saya untuk dikongsikan,' katanya.

Menurutnya, dia kini teruja dan berdebar menunggu reaksi ramai terhadap drama terbaharu arahannya, Khunsa sebanyak 28 episod yang akan menemui penonton di Astro pada Ramadan, tahun depan.

"Saya tak tahulah apa yang orang akan mengata saya untuk drama Khunsa apabila disiarkan nanti. Tapi, saya cuba terbuka menerima apa saja kritikan yang akan diperkatakan mengenainya.

"Kenapa saya buat juga drama Khunsa ini sebab ideanya sudah dihasilkan sejak 10 tahun lalu. Namun, ditolak oleh stesen TV di atas beberapa sebab dan mungkin juga Allah tidak mengizinkan lagi pada ketika itu," katanya.

Berbicara lanjut, Shahrulezad berkata, apa yang diketengahkan juga bukan untuk cuba 'menormalisasikan' atau tanda sokongan pada LGBTQ, tapi ramai dalam kalangan masyarakat yang kurang faham mengenai siapa itu 'khunsa'?

"Apa yang kebanyakan daripada kita tahu golongan 'khunsa' adalah individu yang mempunyai dua alat kelamin ketika dilahirkan, tapi apakah sifat mereka dan dilema dilalui golongan ini (khunsa) kita tidak tahu dan ia wajar difahami.

"Jadi, saya harapkan penonton dapat menerima drama Khunsa ini dan faham mesej yang disampaikan. Saya tidak sesekali menghasilkan drama yang cuba atau ingin 'menormalisasikan' perkara tidak betul. Allah maha tahu niat saya dan doakan agar hati saya tidak dibolak-balikkan," katanya.

Sebelum ini, Shahrulezad pernah menghasilkan drama rantaian popular seperti Seputeh Qaseh Ramadan, Kerana Cintaku Saerah, Syurgamu Ramadan, Sutun, Sutun 2, Nur, Nur 2,Takdir Yang Tertulis, Cina Buta dan banyak lagi

Tidak hanya itu, dia juga pernah memenangi trofi Pengarah Pilihan pada acara Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 3:14 PM