MAK Jah menerima bantuan kerusi roda elektrik
MAK Jah menerima bantuan kerusi roda elektrik

Kuala Lumpur: Pelakon Mak Jah, 74, tidak henti berterima kasih atas budi pelakon Datuk Rosyam Nor, 56, terus membantunya termasuk menghadiahkan sebuah kerusi roda baru-baru ini.

Mak Jah atau nama sebenarnya Maimunah Ahmad sangat tersentuh sehingga gagal menahan sebak sewaktu pihak Rosyam datang ke rumahnya, baru-baru ini.

"Sebelum itu, saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada datuk. Tak terbalas budi baik datuk. Ya Allah ya Tuhanku. Saya tak terkatalah, rasanya ini (kerusi roda) mahal sangat.

"Bagi saya memang tak termampu. Dengan datuk bagi bulanan lagi. Saya mohon sentiasa pada Allah supaya rezeki datuk berkat dunia akhirat," katanya sambil mengesat air mata.

Dalam pada itu, pihak Rosyam juga meminta semua agar mendoakan kesejahteraan Mak Jah yang baru sahaja menjalani pembedahan matanya.

"Salam semua. Bagi pihak Rosyam Nor, pasukan Adraabyrosyam berjumpa dan memberikan sesuatu yang istimewa buat Mak Jah. Seorang pelakon yang tidak lagi asing kepada masyarakat Malaysia.

"Kami berbesar hati ingin menghadiahkan sebuah kerusi roda elektrik kepadanya supaya dapat menjalani kehidupan seharian. Jom kita sama-sama mendoakan kesihatan Mak Jah," berikut kenyataannya di Instagram.

Pelakon wanita itu menjalani pembedahan mata sebelah kanan yang sudah tidak nampak dan menjalani rawatan berkala di hospital dan klinik.

Pada 2016, Mak Jah pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menghidap kanser rahim tahap pertama namun disahkan bebas daripada penyakit itu pada April 2019.

Sudah empat tahun pelakon filem Mami Jarum Junior terbabit tidak aktif dalam bidang seni.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 5:38 PM