Agensi

Los Angeles: Hubungan percintaan bintang pop dan pelakon, Selena Gomez, 31, semakin mendapat perhatian susulan penyanyi itu seolah-olah mengesahkan penerbit Benny Blanco, 35, adalah kekasihnya menerusi perkongsian di media sosial.

Difahamkan Selena menyukai beberapa hantaran yang dimuat naik mengenai khabar angin percintaan itu dengan membalas beberapa perkongsian dibuat peminatnya seakan mendedahkan kisah perhubungan sebenar.

Menurut laporan portal PopFaction, Selena dikata meninggalkan balasan teks 'fakta' di bawah hantaran peminatnya yang menulis, "Selena Gomez nampaknya mengesahkan dia sedang menjalinkan hubungan percintaan".

Mengulas perkara itu, Selena kemudian turut berkongsi swafoto dirinya bersama Blanco di 'Instagram Story' miliknya baru-baru ini.

Penyanyi lagu Same Old Love itu seakan memberi satu lagi petunjuk mengenai hubungannya bersama 

Blanco menerusi perkongsian gambar di akaun media sosial dengan memaparkan cincin dihiasi berlian berukiran huruf 'B' di jari manis kiri.

Walaupun baru saja mendedahkan hubungan dijalin kepada umum, pasangan ini sebenarnya pernah bekerja bersama pada 2019 dan sudah mengenali antara satu sama lain selama beberapa tahun.

Namun, rata-rata peminat Selena sebelum ini mengerahui dia pernah menjalinkan hubungan cinta dengan beberapa selebriti lelaki, termasuk penyanyi Justin Bieber selama lapan tahun sebelum akhirnya berpisah.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 5:03 PM