Mamat Exists
Mamat Exists
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyanyi Exists, Mamat, 45, bersedia menerima apa saja tawaran menyanyi termasuk di majlis perkahwinan tanpa terlalu berkira soal bayaran kerana semua itu adalah rezeki baginya serta boleh dibawa berbincang.

Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin ketika ditemui berkata, dia bersyukur masih lagi menerima tawaran menyanyi sehingga kini walaupun tidak sebanyak dulu dalam sebulan, sekali gus mampu meneruskan kelangsungan hidupnya.

"Saya mudah saja, kalau beri bajet harga untuk persembahan orang kata tinggi, kita boleh pertimbangkan secara berbincang. Tapi, tidaklah sampai bayaran diterima itu tidak berpatutan langsung.

"Ini kerana, antara ingin terima atau tidak saja, namun saya sebenarnya susah nak menolak tawaran nyanyian yang datang kerana kebanyakannya daripada kawan-kawan saya kenal dan faham mereka pun ada bajet tertentu," katanya kepada Harian Metro.

Mamat berkata, setakat ini tawaran nyanyian diterimanya dalam sebulan kadang-kadang ada dapat tiga dan satu tawaran pun pernah diperoleh bergantung pada jarak kawasan dan faktor cuaca sekarang yang tidak menentu.

"Kadang-kadang dalam sebulan itu ada saya dapat tiga tawaran menyanyi. Ada masa pula, satu tawaran saja dan ada ketika tiada langsung, tapi saya okay sebab sedar memang beginilah realiti dirasai sebagai artis.

"Jadi, untuk teruskan 'survive' saya tidak terlalu memilih dan sedia menerima tawaran lain seperti menyanyi pada acara yang kecil iaitu majlis kenduri kahwin yang bayarannya sekitar RM1,000 untuk dua lagu, saya ambil juga.

"Asalkan ada dapat bayaran walaupun RM1,000, kenapa tidak saya untuk menerimanya. Sebab, yang panggil itu kadang-kadang kawan-kawan juga dan ia tidak merugikan pun daripada tidak dapat apa-apa langsung," katanya.

Mamat berkata, apa yang penting hubungan antara mereka itu saling mengenali dan boleh bertolak ansur memandangkan tidak semua orang mempunyai bajet besar untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Kini berulang-alik dari Johor ke ibu kota, Mamat berkata, semua urusan menyanyi diterimanya bergantung pada keadaan dan cara perbincangan kerana komunikasi yang baik antara dua pihak sangat penting.

Terdahulu, Mamat hadir pada sesi latihan Exists bersama Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini sempena konsert Exists yang akan berlangsung di Megastar Arena KL pada 22 Disember ini.

Menurut Mamat, dia akan menyanyikan kira-kira 11 lagu pada konsert Exists itu yang turut disertai seorang lagi penyanyi Exists iaitu Ezad Lazim pada persembahan selama hampir tiga jam dengan 25 buah lagu bakal dinyanyikan.

Kata bapa tunggal tiga anak dan datuk kepada seorang cucu ini, dia kini perlu giat berlatih dan mempunyai stamina diri yang kuat agar persembahannya dalam konsert Exists itu lancar dan berjaya menghiburkan peminat yang membeli tiket.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 9:32 PM