Aida Aris bersama Allahyarham Badrul Muhayat.
Aida Aris bersama Allahyarham Badrul Muhayat.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : Pelakon, Aida Aris memberitahu Allahyarham Badrul Muhayat cuba diberi bantuan pernafasan oleh suaminya dan pelakon, Zazly Baginda sebelum menunggu ketibaan ambulans.

Bagaimanapun, menurut Aida, Badrul kelihatan sudah tidak lagi bernyawa ketika dikejutkan isterinya, Norhayati Zulkapli.

"Saya terkejut apabila mendengar jeritan Norhayati dari dalam bilik. Kebetulan kami menginap di homestay yang sama. Jadi, saya dan suami bergegas ke biliknya dan mendapati arwah sudah tidak sedarkan diri.

"Orang pertama yang beri bantuan pernafasan adalah Zazly, kemudian suami saya sementara menunggu ambulans.

"Melihat keadaan arwah pada waktu itu saya tak boleh nak sahkan sama ada dia sudah meninggal dunia atau tidak tapi dia memang sudah tidak bernyawa," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aida, jenazah Badrul dibawa ke Hospital Sebarang Jaya, Pulau Pinang jam 2.55 petang hari ini.

"Polis baru saja membawa arwah ke hospital sebentar tadi. Saya dimaklumkan arwah bakal menjalani proses bedah siasat.

"Kali terakhir saya bertemu arwah adalah tengah malam tadi kira-kira jam 12 tengah malam. Waktu itu masing-masing sudah penat. Kebetulan saya berada di ruang tamu dan bertemu dengannya. Dia hanya beritahu dia penat dan sudah mengantuk," katanya.

Terdahulu, Allahyarham Badrul, 55, disahkan meninggal dunia dalam tidur pada pagi tadi.

Beliau meninggalkan seorang balu, Norhayati yang baru dinikahi pada 18 April lalu.

Allahyarham Badrul memiliki dua cahaya mata, hasil perkahwinannya yang terdahulu masing-masing berusia 14 dan 16 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 4:16 PM