NURUL Shuhada. FOTO Arkib NSTP
NURUL Shuhada. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abd Rahman

Kuala Lumpur: Nurul Shuhada Mat Shukri menjelaskan tindakan menggunakan gambar bekas suaminya, Hafidz Roshdi dalam iklan produk minuman pelangsingan badan adalah 100 peratus keputusan pengedar produk terbabit.

Shuhada berkata, sebagai duta dia hanya menjalankan tugasnya sebaik mungkin.

Shuhada turut memuat naik permohonan maaf dari syarikat terbabit berkaitan perkara ini di Instagram.

Menerusi kenyataan itu, wakil syarikat terbabit mengakui bertanggungjawab dan menjelaskan salah faham yang berlaku.

Menurutnya, tujuan asal penggunaan gambar ini adalah untuk membuat perbandingan Shuhada sebelum dan selepas menurunkan berat badan.

"Tujuan gambar itu digunakan kerana satu ketika dulu, gambar itu pernah menjadi perbualan ramai yang mana Shuhada pernah menjadi mangsa 'body shaming' kerana saiz badannya agak besar ketika itu," katanya.

Mereka tidak menyangka ia menyinggung sensitiviti sesetengah pihak walaupun gambar bersama bekas suaminya ditutup di bahagian muka.

Mereka juga sudah berhubung dengan Hafidz dan menjelaskan apa yang berlaku dan berjaya mencapai penyelesaian dengan baik.

"Tuduhan mengatakan Shuhada masih belum 'move on' adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Terdahulu, Hafidz meminta Shuhada memadam gambarnya yang dijadikan bahan promosi produk minuman pelangsingan badan bagi mengelak tindakan lanjut.

Pelakon itu berkata, Shuhada menggunakan gambar orang yang sudah tiada kaitan dengan hidupnya tanpa kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 2:53 PM