Tony Eusoff ketika sidang media filem Harimau Malaya "The Untold Journey" di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. FOTO AHMAD UKASYAH
Tony Eusoff ketika sidang media filem Harimau Malaya "The Untold Journey" di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. FOTO AHMAD UKASYAH
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Tony Eusoff sekarang lebih selesa membujang dan banyak menumpukan kepada menjaga ibunya yang menetap di Kuching, Sarawak berbanding mengejar cinta.

Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph anak Hermas Rajiman, 46, berkata dia enggan serabutkan fikiran memikir ada pasangan hidup dan mendirikan rumah tangga.

"Saya pun sudah umur begini, sekarang lebih menumpu kepada menjaga ibu saya. Ibu saya pun sudah 76 tahun. Kalau ada masa, setiap bulan akan balik Kuchinglah tengok-tengok dia. Sebab ibu tak nak duduk di sini (Kuala Lumpur).

"Kalau nak cari pasangan, kena fikirkan isu pasangan okay tak dengan keluarga kita, merungsingkan lagi. Buat masa ini, saya nak tumpu kepada apa yang saya ada," katanya ditemui pada sidang media filem Harimau Malaya The Untold Journey (HMTUJ), baru-baru ini.

Menurutnya, andai kata jodohnya dipermudahkan, dia sedia berkahwin. Namun secara jujur dia mengakui tak kahwin sebab rasa diri tak cukup mampu menyediakan kehidupan baik jika ada cahaya mata.

"Saya tak mampu beri kehidupan yang saya nak kepada anak-anak saya. Sekarang anak-anak begitu mahal. Fikir-fikir sampai serabut, baik tak payah kejar. Kalau jadi, jadilah," katanya.

Tony juga rasa beruntung kerana keluarganya bukan jenis memaksa. Baginya kebahagiaan tidak tertakluk kepada perkahwinan semata-mata.

"Mustahil 100 peratus manusia dalam dunia akan kahwin. Kalau dapat kahwin, untung dan syukurlah. Bagi yang belum, teruskan usaha. Tapi haruskah itu menjadi tujuan mutlak utama hidup kita?

"Banyak lagi perkara lain boleh kita capai. Asalkan bahagia, disayangi keluarga, kawan-kawan sekeliling ada untuk tempat bersandar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 1:04 PM