Azim Yusof.
Azim Yusof.
Najiy Jefri

 

 

Kuala Lumpur: Wang simpanan pelakon Azim Yusof sebanyak RM45,000 'hangus'  selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon atau 'phone scam'.

Azim berkata, ketika kejadian dia seolah-olah sedang dipukau apabila mengikut segala arahan individu tidak dikenali itu sehingga membuat dua transaksi.

"Ketika menerima panggilan telefon itu malam tadi saya seperti dipukau apabila mengikut segala arahan individu terbabit sehingga membuat transaksi ke mesin pengeluaran automatik (ATM).

"Saya hanya tersedar selepas saya pulang ke rumah dan mendapati duit simpanan saya 'lenyap' semuanya. Ketika kejadian itu saya membuat dua transaksi iaitu melalui ATM dan online. 

"Nak kumpul duit sebanyak itu dalam keadaan tawaran lakonan yang tidak menentu bukan senang. Sampai sekarang saya masih buntu dan hilang arah. 

"Saya yakin saya dalam keadaan tidak sedar kerana saya sedia maklum dan sering membaca berita mengenai individu yang menjadi mangsa Scammer ini," katanya kepada Harian Metro.  

Satu laporan polis dibuat malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Selangor. 

Menurut Azim, kejadian yang menimpanya  itu hampir sama dengan kebanyakan mangsa-mangsa lain. 

"Saya dihubungi individu yang mendakwa dari Pejabat Pos Laju dan memaklumkan terdapat bungkusan dari Perlis ke Sarawak. 

"Individu itu memberitahu terdapat bungkusan yang tertera gambar dan kad pengenalan saya. 

"Kemudian saya disambungkan kepada polis selepas didakwa terbabit dalam penggubahan wang haram dan perlu melunaskan RM45,000 bagi menyelesaikan masalah itu," katanya. 

Biarpun untuk mendapatkan kembali wang sebanyak RM45,000 agak mustahil, namun Azim tetap menaruh harapan. 

"Itu saja duit yang saya ada. Nak terima hakikat dalam keadaan sekarang memang agak mustahil. 

"Saya hanya mampu berdoa dan berharap ada pihak yang dapat membantu saya ketika ini. Jika ada cara untuk mendapatkan duit ini kembali tolong hubungi saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 11:13 PM