Seorang wanita berniaga sendiri menunjukkan laporan polis berkaitan  kejadian dipukau dan ditipu sebanyak RM1150 di sini, hari ini. FOTO Amir hamzah Nordin.
Seorang wanita berniaga sendiri menunjukkan laporan polis berkaitan kejadian dipukau dan ditipu sebanyak RM1150 di sini, hari ini. FOTO Amir hamzah Nordin.
Amir Hamzah Nordin

Jerantut: Wanita dakwa mengalami kerugian sebanyak RM1,150 menerusi transaksi jualan tambah nilai prabayar telefon bimbit di sini.

Peniaga berusia 33 tahun itu berkata, dia menyedari mengenai kejadian itu selepas solat Maghrib di rumahnya di Felda Jengka 21, petang semalam.

Menurutnya, dia tersedar transaksi jualan tambah nilai telefon bimbit yang diurusnya seperti ada sesuatu yang tidak kena.

"Saya berasa seperti dipukau, selalunya sebelum setiap transaksi jualan, pelanggan akan menghantar resit atau bukti kiriman wang melalui dalam talian menggunakan aplikasi WhastApp.

"Selepas menerima bukti itu, barulah saya hantar nilai tambah prabayar yang diminta oleh pelanggan," katanya.

Menurutnya, mulanya dia percaya kerana ada dua kiriman bukti transaksi dalam talian melalui dua bank yang berbeza daripada satu nombor telefon milik seorang wanita yang dikenali sebagai Nisa.

"Oleh kerana ada sesuatu yang tidak kena, pagi ini saya terus ke bank untuk menyemak akaun bank saya dan tiada sebarang transaksi wang masuk.

"Selain itu, saya menunjukkan resit yang saya terima kepada pegawai bank sebelum dia menyatakan 'resit' itu adalah palsu dan sudah diedit," katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Jerantut pada 10 pagi hari ini dan dimaklumkan nombor telefon yang digunakan oleh suspek itu sedang dicari polis kerana terdapat sebanyak 36 laporan mengenainya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 2:49 PM