Penyanyi, Baby Shima
Penyanyi, Baby Shima
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi, Baby Shima menyelar segelintir netizen yang mengecam tindakan Mas Idayu memberi ulasan terhadap Sissy Imann dengan kata-kata kesat sebagai tanda tidak puas hati.

Katanya, perbuatan melemparkan perkataan kasar kepada juri yang menjalankan amanah dengan jujur menunjukkan pihak tersebut sebenarnya yang mempunyai tingkah laku buruk.

Pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli, 30, itu berpendapat orang ramai berhak memberi pandangan terhadap isu berkenaan, namun perlu memahami tanggungjawab seorang juri sebelum beremosi.

"Pada pendapat saya, komen yang dilontarkan Mummy Mas Idayu macam teguran yang biasa dibuat dalam beberapa program pertandingan sebelum ini.

"Saya masih ingat ketika beliau memberikan teguran kepada saya ketika bersaing dalam D'Academy Asia 2017, saya diam saya tetapi tanam azam mahu buat lebih baik.

"Memang pedih dengar ulasannya, namun saya tahu beliau mahu kita terus usaha bagi persembahan yang paling bagus sebab tahu kemampuan kita.

"Setiap juri juga ada cara tersendiri dalam luahkan komen, cuma tak bermakna teguran pedas itu tanda dia tak suka. Ia lebih kepada kejujuran dalam menegur," katanya.

Kontroversi teguran Mas Idayu terhadap persembahan Sissy Imann dan Naim Daniel itu tercetus pada Ahad lalu selepas Sissy menangis usai Mas Idayu memberikan maklum balas terhadap persembahan mereka dalam Famili Duo di TV3.

Juri itu berpendapat persembahan Sissy dan sepupunya, Naim Daniel ketika menyanyikan lagu Jampi milik Hael Husaini dalam versi keroncong tidak memberangsangkan dan tidak mencapai piawaian untuk minggu keenam.

Komen berkenaan membuatkan Sissy berasa tidak lagi disayangi penggemar malah kemudian nekad membatalkan pelancaran album terbarunya yang dirakam di London dek rasa kecewa.

Nama Sissy terus menjadi bualan ramai selepas diperdebatkan netizen serta rakan artis yang mana lebih ramai menyalahkan Mas Idayu.

Sebilangan penggiat seni lain pula termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza berpendapat kritikan adalah asam garam yang perlu dihadapi apabila menyertai mana-mana pertandingan realiti.

Sebelum ini Baby Shima pernah berhadapan situasi seperti itu apabila dimarahi juri sama ketika menyertai pertandingan D'Academy Asia di Indonesia pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 5:52 PM