NOMAD dan Farah
NOMAD dan Farah
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi lagu Tetap Menantimu, Nomad, 35, selamat melangsungkan pernikahan dengan wanita pilihannya, Farah Wahida Hassan, 40, semalam, sehari selepas bertunang kelmarin.

Nomad atau nama sebenarnya, Nur Mohd Alieff Ayub berkata, dia bersyukur sudah bergelar suami walaupun berasa sedikit janggal apabila dirinya kini dipanggil suami kepada Farah Wahida.

"Saya bertunang dengan Farah Wahida Hassanvpada 12 Mei lalu dan akad nikah kami berlangsung pada pagi 13 Mei (semalam). Mas kahwin pula sebanyak RM13,000.

"Segala persiapan perkahwinan di saat akhir berjalan dengan lancar. Alhamdulillah syukur," katanya menerusi mesej di kiriman WhatsApp yang dikongsikan kepada syarikat pengurusannya, Indigital Music.

Ditanya mengenai pendekatannya yang tidak berkongsi kisah percintaan dengan isteri, Nomad berkata, apa yang berkaitan kisah dirinya yang tidak pasti lagi, lebih baik tidak dihebahkan lebih awal.

"Bagi saya, apa benda yang belum pasti berkenaan dengan kisah hidup saya terutama dari segi percintaan saya tak akan dedahkan.

"Saya rasa bila dah sah, baru saya akan 'reveal' (mendedahkan). Ada beberapa perkara kalau dalam hidup saya kalau ada sesuatu sepatutnya saya akan kongsi, saya kongsikan. Tapi, kalau ada yang tak perlu dikongsikan. Saya rasa tak perlu kongsikan," katanya.

Sebelum ini, Nomad yang pernah menyepi seketika selama lima tahun daripada industri hiburan, muncul semula pada 2020 lalu apabila tampil menyertai Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) pada tahun itu yang mendapat perhatian ramai.

Terdahulu, kisah perkahwinan Nomad diketahui media selepas hantaran beberapa foto dan video majlis resepsi yang berlangsung di Kedah itu dikongsikan penerbit drama, Fadzil Teh di Instagram berserta ucapan tahniah kepada pasangan pengantin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 2:53 PM