Zaki Jinggo  bercerita pernah bercinta dengan Syura yang tular di Tik Tok sejak semalam.
Zaki Jinggo bercerita pernah bercinta dengan Syura yang tular di Tik Tok sejak semalam.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Syura Badron, 37, terkejut dengan video tular di media sosial membabitkan seorang lelaki dikenali, Zaki Jinggo dari Kuantan, Pahang yang mendakwa pernah bercinta dengannya suatu ketika dulu.

Syura atau nama sebenarnya, Zuraidah Badron berkata, dia yang mendapat kiriman video itu daripada beberapa kenalan dan sudah menontonnya, jadi tertanya-tanya siapakah lelaki itu kerana tidak pernah kenal.

"Mula-mula itu, saya memang terkejut sebab tak kenal dia langsung. Saya siap cakap dalam hati, siapalah 'mamat' (lelaki) ni yang tiba-tiba mengaku pernah bercinta dengan aku?

"Tapi, apabila mendengar ceritanya dalam video itu sampai habis, barulah saya teringat pernah membuat persembahan di Kuantan pada 2001 lalu yang ketika itu saya baru jadi penyanyi dan popular dengan lagu Kasih Tidak Terjamah.

"Seingat saya, pada masa itu ada mengajak seorang peminat lelaki naik ke pentas untuk menyanyi bersama. Jadi, mungkin dia adalah Abang Zaki berdasarkan pendedahan ceritanya di dalam video itu," katanya kepada Harian Metro.

Syura berkata, daripada maklumat yang diketahuinya, Zaki Jinggo agak dikenali ramai di Kuantan kerana personalitinya yang mudah mesra, ramah dan suka menghadiri acara hiburan terutama persembahan nyanyian.

"Saya ada juga terbaca beberapa komen netizen di entri video itu yang memaklumkan Abang Zaki suka menyanyi dan dia memang selalu kelihatan di sana.

"Malah, ada juga netizen yang mendakwa Abang Zaki ini 'tidak sihat'. Jadi saya fahamlah apa yang mereka (netizen) maksudkan dan menganggap pendedahan dibuat itu sebagai hiburan saja. Suami saya pun ketawa ketika menonton videonya.

"Apapun, saya mohon maaf kepada Abang Zaki sebab mungkin 'nakal' sangat ketika itu. Maklumlah, masih remaja lagi dah jadi penyanyi. Saya mula menyanyi ketika berumur 15 tahun," katanya.

Syura yang juga ibu kepada empat anak, baharu saja habis pantang bersalin bayi lelaki, Muhammad Umar Eussof, dilahirkan pada 13 Mac lalu, hasil perkahwinan kali keduanya bersama Muhammad Farizat Ismail, 29.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Syura mempunyai tiga anak iaitu Nurul Diana Irdani, 16, Nurul Qaisara Sofia, 14, dan Muhammad Irfan Aryan, 12.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 3:47 PM