PERKONGSIAN di media sosial Fauziah.
PERKONGSIAN di media sosial Fauziah.
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Isteri penyanyi Datuk ND Lala iaitu Datin Fauziah Sarman memohon kepada orang ramai, ahli keluarga, sahabat dan sesiapa saja yang mengenali untuk tidak menunjukkan reaksi sedih ketika berjumpa dengannya.

Biarpun belum menemui titik noktah, kemelut rumah tangga ND Lala dan isterinya sehingga kini masih menjadi perbualan hangat netizen di laman sosial.

Malah ketiadaan ND Lala bersama keluarganya ketika meraikan Hari Raya Aidilfitri turut mengundang tanda tanya dalam kalangan netizen.

"Pada keluarga, sahabat-sahabat dan sesiapa di luar sana yang mengenali saya. Kalau terjumpa saya tolong jangan buat muka sedih.

"Kalau saya nampak muka sedih kalian saya akan menangis. Sedekahkan saya senyuman paling manis, saya akan senyum pada anda," luah Fauziah.

Terdahulu, ND Lala didakwa kononnya sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita yang difahamkan adalah rakan kepada anaknya iaitu penyanyi Shila Amzah semasa di bangku sekolah.

Kehadiran Fauziah ke mahkamah dipercayai bagi memfailkan perceraian sekitar awal April lalu turut menguatkan lagi spekulasi mengenai rumah tangga mereka.

Sebelum itu, Fauziah memuat naik wajah seorang wanita dengan kapsyen 'Penyondol... Siti Munirah Abd Ghani' dipercayai individu yang ada kaitan dengan rumah tangganya bersama suami.

Bagaimanapun, Fauziah kemudian mengemas kini kapsyen berkenaan dan menulis 'Isteri Dato' ND Lala... Datin Siti Munirah Abd Ghani'.

Terdapat juga khabar angin mengatakan penyanyi itu sudah berkahwin secara rahsia dengan seorang wanita yang jauh lebih muda daripadanya.

ND Lala mendirikan rumah tangga bersama Fauziah pada 1989 dan pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata termasuk Nur Shahila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 2:32 PM