Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam : Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shukran Yusof menetapkan tarikh perbicaraan semula berhubung pindaan bayaran nafkah anak yang dituntut penyanyi, Sam Bunkface kepada bekas isterinya, Aida Azira Husin pada 16 Mei ini.

Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Anuar Baharom, 35, ketika ditemui di sesi perbicaraan di mahkamah itu bagaimanapun enggan memberikan kenyataan lanjut.

"Saya tak boleh komen sebab kenyataan yang keluar sebelum ini dah lengkap. Sekarang, kes ini sedang berjalan.

"Insya-Allah semuanya lancar dan sedang menunggu tarikh seterusnya. Segala maklumat, saya dah berikan dalam kenyataan sebelum ini. Terima kasih," katanya.

Sam yang bergegas menuju ke kenderaannya selepas habis perbicaraan turut meminta wartawan merujuk kepada Aida sekiranya ada sebarang pertanyaan.

"Kalau apa-apa tanya dia (Aida)," katanya.

 Sam Bunkface.
Sam Bunkface.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili Sam, Liyana Sihar memohon semua pihak saling menghormati agar tidak timbul sebarang salah faham.

"Kes sedang berjalan dan kita hormati prosedur mahkamah. Cuma, kita minta semua pihak saling menghormati pihak yang lain sebab kes ini dah lama berjalan sebenarnya.

"Jadi, beri peluang kepada semua pihak supaya tidak timbul salah faham," katanya.

Sam hadir ke mahkamah ditemani isteri, Puteri Eifa Ezrin Mohd Kushairi.

Sementara itu, Aida, 36, yang hadir bersama peguamnya enggan memberikan sebarang kenyataan dan bergegas menuju ke kenderaan sejurus selepas keluar dari ruang perbicaraan.

Terdahulu, Aida tidak bersetuju dengan permohonan dibuat penyanyi itu berhubung pindaan nafkah anak lelaki tunggal mereka, Maleeq, 7.

Sam dan Aida berkahwin pada 25 April 2015 namun bercerai pada Januari 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 2:58 PM