KAMAL Adli dan Uqasha.
KAMAL Adli dan Uqasha.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya rindu abang, cepat-cepat sihat," kata pelakon, Uqasha Senrose yang kini masih berjauhan dengan suaminya, Kamal Adli selepas insiden diserang individu tidak dikenali di Singapura, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian video di TikTok, Uqasha dilihat terkesan dengan ketiadaan Kamal di sisinya apatah lagi perlu berhadapan tohmahan akibat dakwaan pernah 'membuli' di sekolah.

"Siapa hendak menjadi badut untuk gembirakan saya. Dengan macam-macam tohmahan, saya perlukan abang," tulisnya di ruangan kapsyen.

Paparan video dikongsikan itu menunjukkan Kamal ceria dan gembira menghiburkan Uqasha dengan menari tarian Bollywood.

Uqasha bagaimanapun tidak berkongsi lanjut lokasi di mana Kamal ketika ini atas faktor keselamatan.

Terdahulu, pada 12 Mac lalu, Kamal dilaporkan cedera parah akibat dipukul oleh individu tidak dikenali menggunakan cota besi di bahagian kepala, muka dan badan hingga perlu menjalani pembedahan dan dirawat di Hospital Besar Changi, Singapura.

Semakan di Instagram Story Uqasha pula mendapati dia sibuk menyiapkan biskut coklat yang dibuatnya untuk jualan. Termasuk, perkongsian kata semangat diterima daripada pengikutnya.

Bukan itu saja, Uqasha turut berkongsi paparan kenyataan dia sudah memaafkan individu yang menyebarkan fitnah kepadanya menerusi penyebaran mesej di media sosial.

"Dia telah menyebarkan aib mengatakan saya gangster dan pembuli kepada seseorang di 'dm' (mesej langsung) dan 'dm' itu dapat pada saya, punya dia nak buat orang percaya saya gangster, dia siap cakap demi Allah.. tak apa saya dah maafkan awak juga," tulisnya.

Beberapa hari lalu, tersebar dakwaan seorang wanita yang mengatakan dia menjadi mangsa buli sejak zaman sekolah dan pembuli itu adalah Uqasha.

Justeru, Uqasha sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan berbaur fitnah itu dan dia juga sudah melantik peguam bagi menguruskan kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 3:29 PM