Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
Najiy Jefri


Petaling Jaya: Bekas Menteri Kesihatan yang kini bergelar penyampai radio Bekpes Hot, Khairy Jamaluddin menyifatkan keputusan menyertai 'keluarga' stesen radio Hot FM adalah pilihan tepat.

Khairy atau lebih dikenali KJ berkata, dia berterima kasih kepada pihak pengurusan Media Prima Audio (MPA) serta tiga rakan penyampainya, Johan, Fara Fauzana dan AG.

"Saya rasa ini adalah keputusan yang tepat dan tidak berasa kesal malah saya berterima kasih kepada pihak MPA serta semua kru khususnya buat tiga rakan penyampai di Bekpes Hot.

"Mereka tetap menerima saya sebagai penyampai radio walaupun hanya bertugas sekali dalam seminggu. Bagi saya, ini adalah pengalaman berharga," katanya.

Sementara itu, AG pula menggambarkan KJ adalah seorang figura hebat selain memiliki aura yang cukup luar biasa.

"Kita semua tahu yang dia adalah seorang figura yang hebat. Auranya sangat besar dan secara tidak langsung memberikan impak yang positif untuk KJ dan Hot FM.

"Bila kami dapat bergabung apa saja tujuan atau asbab kami dapat rasakan kemesraan itu. KJ pun sangat profesional. Walaupun dia pernah berkhidmat sebagai menteri, tapi apabila masuk konti dia menjadi diri sendiri.

"Dia tidak membataskan kami di Bekpes Hot walaupun gurauan kami agak kasar atau sedikit keterlaluan, tetapi masih mengikut garis panduan yang ditetapkan.

"Apabila bersama dengannya kami tiada halangan. Dia beri kami kebebasan. Alhamdulillah gabungan ini adalah satu platform dan peluang yang baik untuk kita mengenali lebih rapat antara satu sama lain," katanya.

Terdahulu, KJ mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM menerusi temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal pada 9 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 2:38 PM