KHRAM (depan lima dari kiri) menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung ke Fiesto Fest Pulau Pinang.
KHRAM (depan lima dari kiri) menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung ke Fiesto Fest Pulau Pinang.
Ridzuan Abdul Rahman


PENGANJURAN Fiesto Fest@Melaka 2022 pada hujung Disember lalu di Dataran Pahlawan Megamall, Melaka membuka ruang rezeki buat pelbagai pihak termasuk artis-artis tanah air.

Melihatkan sambutan positif masyarakat, program ini dibawa ke Pulau Pinang pula menerusi Fiesto Fest @Penang 2.0 pada 3 hingga 5 Mac ini di perkarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang di mana masuk adalah percuma.

Pengarah program, Ikhram Zainudin berkata, pihaknya mahu semua lapisan masyarakat hadir menikmati acara yang disediakan termasuk persembahan artis popular tanpa sebarang kos.

"Sebagai penganjur sudah tentu saya mahukan orang ramai hadir ke acara ini untuk memeriahkan suasana. Jika kenakan bayaran, sudah tentu usahawan yang berniaga dalam festival ini akan terkesan.

"Penganjur tidak seharusnya mengutip wang daripada pengunjung kerana boleh jejaskan nama mereka sendiri. Usahawan yang berniaga mengharapkan kehadiran ramai pengunjung untuk menjual produk mereka.

"Seperti di Melaka, festival ini sarat dengan aktiviti sukan, seni, budaya dan kemasyarakatan, selain turut dimeriahkan dengan ekspo jualan produk yang hebat dari usahawan tempatan," katanya.

Program lain yang turut diadakan ialah Fiesto Music Fest, Zumba Rock, Fiesto Chess Championships, Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak, Bikers Ghatering dan Indoor Sport.

KRISTAL ketika beraksi di Melaka.
KRISTAL ketika beraksi di Melaka.

Segmen persembahan artis akan menampilkan Baby Shima, Ronnie Hussein, Azlan Typewriter, Kristal, Klangit, Akar dan ramai lagi bagi memeriahkan acara ini.

Sementara itu, Azlan Typewriter mengakui teruja untuk beraksi pada persembahan yang bakal berlangsung nanti.

"Ini kali kedua saya terbabit dengan festival ini selepas Melaka. Saya akan beraksi solo dengan iringan band penganjur. Semestinya saya akan tampilkan persembahan yang menghiburkan.

"Saya percaya peminat pastinya tertunggu-tunggu bukan sahaja persembahan saya tapi artis-artis lain nanti kerana peluang sebegini bukan selalu ada.

"Saya sangat berharap peminat datang menyokong festival yang diadakan secara percuma ini. Selain berhibur mereka boleh beli barangan yang dijual di situ," katanya.

Bagi Ewal pula, inilah peluang terbaiknya buatnya mempamerkan kehebatan persembahannya bersama kumpulan Kristal.

"Mungkin ada dalam kalangan peminat yang belum pernah lihat persembahan kami sebelum ini. Jadi, mereka boleh datang menyaksikannya di sini.

"Kami akan tampil dengan lagu-lagu popular Kristal serta single terbaru buat peminat. Saya yakin peminat akan datang menyokong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 6:10 AM