Mas Idayu (kanan) berpelukan dengan Sissy selepas berakhir final Famili Duo.
Mas Idayu (kanan) berpelukan dengan Sissy selepas berakhir final Famili Duo.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga juri program Famili Duo, Mas Idayu bertentang mata dan memeluk peserta, Sissy Imann selepas kedua-duanya terpalit dengan kontroversi, baru-baru ini.

Mas ketika ditemui berkata, dia adalah wanita yang kental dan tidak kisah sekiranya dihentam, namun, dia tidak mahu netizen mengganggu peserta bertanding.

"Semasa saya tengok semula video yang saya berikan komen itu, dia tak menangis. Tapi, selepas Ajai komen, mungkin dia rasa tersentuh dan menangis. Tapi, yang saya nampak, dia tak marah, tapi kecewa.

"Tetapi, sebab dia mendiamkan diri, netizen hentam saya. Dalam seminggu, saya dapat gelaran macam-macam termasuk binatang. Saya nak biarkan peserta selesaikan tugas mereka. Kalau nak ganggu, biar maki saya dahulu," katanya.

Bahkan, selepas insiden itu, Mas juga menerima kiriman mesej daripada peserta lain, yang mengatakan bahawa dia nampaknya lebih sayangkan Sissy dan Naim kerana tindakannya memberikan komen untuk mereka jadi lebih maju.

"Ada peserta yang pernah DM saya dan katakan bahawa nampak sangat saya sayangkan Sissy dan Naim daripada mereka. Saya tak balas sebab orang pun boleh nampak di mana, saya marah beria-ia daripada orang lain.

"Ketika di minggu keenam itu, mereka mempersembahkan lagu berbentuk keroncong. Saya dan Ajai berbincang bahawa itu satu kelainan yang luar biasa. Tapi, ada kesilapan dan saya tak mampu nak bantu.

"Saya kena bersikap telus dan tak boleh berikan markah tinggi kerana nanti, orang luar akan cakap saya bersikap berat sebelah serta tak bijak. Akhirnya, selepas itu, dia mula faham," katanya.

Mas inginkan Sissy menjadi artis yang lebih kuat untuk meneroka dunia seni yang penuh cabaran ini.

"Saya nak dia kuat seperti orang lain. Minggu sebelum itu pun, saya tak mahu dia memujuk-mujuk semata untuk saya berikan komen. Saya nak dia sendiri bersedia untuk minta.

"Kedua-dua mereka ini adalah artis yang bijak, cuma minggu keenam sahaja. Minggu lain tak ada pula kami juri ini komen yang teruk kerana persembahan mereka sangat bagus," katanya.

Terdahulu, timbul kontroversi apabila Sissy dikatakan patah semangat selepas dikritik oleh Mas dalam program itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 3:48 PM