BABY Shima. FOTO Arkib NSTP
BABY Shima. FOTO Arkib NSTP
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Penyanyi yang kini mencipta nama di negara seberang iaitu Baby Shima kembali menjadi bahan kecaman netizen apabila mempamerkan kad pengenalan (KTP) Indonesia ketika menjayakan sebuah program di sana.

Baby Shima atau pemilik nama penuh Nor Ashima Ramli, 30, berkongsi keterujaan sambil memegang kad KPT ketika membuat kemunculan menerusi program Pagi Pagi Ambyar di saluran Trans TV di Indonesia baru-baru ini.

"Ya, Shima sudah jadi orang Indonesia. Shima punya kad pengenalan," katanya sambil menunjukkan kad berkenaan.

Aksi spontan penyanyi sensasi itu susulan menjawab pertanyaan hos program berkenaan bertanya sama ada dia mahu menjadi rakyat negara itu.

Maklum balas Baby Shima adalah untuk memaklumkan dia kini memang sudah menjadi warga negara Indonesia.

Susulan pengakuannya itu, sedutan rakaman tersebut tular di media sosial. Malah, segelintir pihak gembira dengan perkongsian yang dibuat oleh Baby Shima.

Bagaimanapun, video penuh temu bual itu di YouTube mendapati Baby Shima sebenarnya hanya bergurau tentang perkara itu.

Apatah lagi, kad KTP yang dimaksudkan adalah Kad Tanda Pahlawan (KTP) Orang Baik Indonesia yang dibuatnya sendiri.

Baby Shima bagaimanapun memberitahu dia pernah terfikir untuk berhijrah ke negara berkenaan memandangkan masyarakat Malaysia tidak menyukai dia.

"Saya pernah terfikir untuk berhijrah ke Indonesia... tapi bila fikirkan semula, bagaimana ya? Susah tak?

"Di Malaysia sahaja sering disakiti, apa lagi di Indonesia. Jadi, saya sudah terbiasa dan tak kisah," katanya.

Nama Baby Shima tidak pernah sepi dengan pelbagai kontroversi sehinggakan dia sering menjadi sasaran makian netizen di laman sosial yang tidak berpuas hati dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 4:38 PM