Elly Mazlein. FOTO AZIAH AZMEE
Elly Mazlein. FOTO AZIAH AZMEE
Oleh Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pengacara dan pelakon Elly Mazlein bersyukur dengan rezeki dalam bidang pengacaraan, sungguhpun mula berkecimpung sebagai penyanyi sekitar dua dekad lalu.

Elly atau nama sebenar, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi meluahkan rasa teruja pembabitannya sebagai hos program nyanyian Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) turut membuka ruang lebih luas buat dirinya.

"Bukan mudah sebenarnya nak berada sampai tahap sebegini. Selain kerja keras, saya sentiasa lakukan tugas yang diberi dengan baik.

"Allah SWT punya kerja. Lepas kita dah usaha, kita kena doa dan tawakal. Selebihnya kita serah pada Allah SWT. Siapa sangka kan, pada usia 42 tahun rezeki datang tak putus-putus.

"Terima kasih juga diucapkan kepada GV9 kerana memberi peluang kepada saya untuk menonjolkan bakat dalam bidang pengacaraan. Kini, ramai yang percaya saya boleh menggalas tanggungjawab ini," katanya.

Dalam pada itu, Elly turut mengambil pendekatan untuk tidak menghiraukan kata-kata negatif segelintir pihak yang membenci dirinya, setiap kali muncul dalam pelbagai rancangan di televisyen.

Elly atau lebih mesra disapa Kak Lina Pom Pom berkata, dia enggan melayan setiap komen negatif yang dilemparkan, sebaliknya memberi fokus pada hal-hal positif saja.

"Kalau penonton atau orang ramai tak suka, saya tak pernah pun ambil tahu mengenai hal-hal negatif. Apa yang saya fikirkan adalah mereka yang meminati saya saja.

"Tapi untuk yang tak suka saya itu, tak mengapalah. Sebab saya sentiasa memberi ruang kepada mereka untuk menyukai atau meminati saya suatu hari nanti. Kan orang kata, tak kenal maka tak cinta," katanya.

Elly berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program The Masked Singer Malaysia 3 (TMSMY3) yang diadakan di ibu kota baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Elly bakal mengisi kerusi penjurian TMSMY3 bersama Zul Ariffin, Emma Maembong, Ella, Sharnaaz Ahmad, Didie Alias, Shuib Sepahtu dan Atu Zero yang akan disiarkan Astro Warna mulai 23 Disember ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 7:26 PM