Lesti Kejora.
Lesti Kejora.
Agensi

Jakarta: Penyanyi dangdut, Lesti Kejora, 23, terus menjadi perhatian netizen Indonesia apabila didakwa berada dalam keadaan sedih dan sugul ketika menghadiri satu majlis pelancaran produk, baru-baru ini.

Menerusi laporan media tempatan, Lesti dikatakan tampil dengan wajah sedih dan dia juga dilihat begitu sibuk dengan telefon bimbitnya sehingga tidak mempedulikan kamera yang dihala kepadanya.

Dengan situasi itu yang rakamannya tersebar di media sosial, terus membuka ruang kepada warganet membuat pelbagai andaian terutama mengesyaki Lesti kini berhadapan masalah rumah tangga lagi.

Ada antara netizen membuat andaian, ibu seorang anak lelaki itu dalam keadaan sedih kerana didakwa berjauhan dengan suaminya, pelakon Rizky Billar.

"Dia sedih mungkin sebab pergi majlis itu seorang diri," tulis seorang netizen.

"Gaduh lagi dengan Rizky ke?,"' komen seorang netizen.

Sementara itu, dalam satu temubual media bersama Rizky, dia menafikan kembali berbaik dengan isterinya itu kerana faktor kewangan.

"Saya tegaskan kalau alasan kami berbaik semula bukan sebab duit. Ia adalah tuduhan tidak benar. Malah, kini saya masih fokus untuk memulihkan hubungan keluarga," katanya.

Terdahulu, Lesti membuat laporan polis dengan mendakwa dia dipukul Rizky pada 28 September lalu, jam 1.51 pagi Waktu Indonesia Barat (WIB) di kediaman mereka, di Cilandak, Jakarta Selatan.

Dia juga mendakwa suaminya berlaku curang sehingga berlaku pergaduhan antara mereka. Malah, Rizky turut dikatakan bertindak agresif dengan memukul dan mencekik Lesti sehingga jatuh ke lantai.

Bagaimanapun, pada pertengahan Oktober lalu dilaporkan Lesti menarik semula laporan polis dibuatnya terhadap Rizky sebaik pulang dari menunaikan umrah kerana memikirkan anak mereka yang tidak bersalah dan menjadi mangsa.

Rizky dan Lesti mendirikan rumah tangga pada 19 Ogos 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Leslar Al-Fatih Billar, kini berusia setahun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 12:39 PM