Zamani dah boleh menyanyi.
Zamani dah boleh menyanyi.

Kuala Lumpur: Perasaan gembira pengacara popular tanah air, Datuk Aznil Nawawi terhadap perkembangan kesihatan Zamani yang semakin pulih dari pembedahan sukar digambarkan.

   Aznil atau Pak Nil yang bertanggungjawab mengumpul dana bagi membiayai pembedahan tulang belakang Zamani akibat penyakit skoliosis pada awal November lalu, menitiskan air mata apabila menonton penampilan pertama penyanyi terbabit di sebuah pusat beli-belah di ibu kota, malam semalam.

Menerusi video yang dimuat naik Pak Nil di TikTok, Zamani dilihat berada di atas pentas membuat persembahan menghiburkan peminat yang hadir.

Nyanyiannya ternyata mendapat sambutan peminat yang hadir memenuhi setiap ruang di situ. 

"Terima kasih Allah kembalikan kesihatan dan keadaan fizikalnya seperti dahulu. Menitis air mata gembira menonton persembahan pertama Zamani selepas pembedahan. Kurang dari sebulan selepas pembedahan dilakukan," tulisnya. 

Video itu mendapat hampir 14,000 tanda suka dan lebih 500 komen yang berupa sokongan kepada Zamani. 

Terdahulu, Zamani menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang yang melengkung akibat penyakit skoliosis di sebuah pusat perubatan di Cheras pada 7 November lalu.

Dia dibenarkan keluar selepas tiga hari pembedahan dan menjalani rawatan pemulihan di rumah. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 8:59 PM