Sharifah Shahirah
Sharifah Shahirah
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : "Naluri ibu sangat kuat. Apabila saya buat panggilan video dia 'reject'. Ketika minta berikan lokasi dia tidak membalas mesej saya seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena," kata pengacara dan penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah mengenai insiden kemalangan yang menimpa anak lelakinya, Airell Zulkifli, 18, awal pagi semalam.

Airell antara mangsa dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dengan treler di Kilometer 179, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara di Jasin, Melaka, kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Airell yang menaiki bas berkenaan dari Singapura menuju ke sini mengalami cedera ringan.

Difahamkan, Airell ke Singapura tanpa pengetahuan ibu dan bapanya.

Sharifah atau mesra disapa Kak Rara berkata, dia tidak pernah melarang anaknya untuk melakukan aktiviti diminati, tetapi perlu memberitahu dan meminta kebenarannya.

Katanya, dia bimbang sekiranya tindakan anaknya yang ke Singapura secara rahsia itu berakhir dengan tragedi.

"Jika dia pergi Singapura tapi tak pulang buat selama-lamanya bagaimana? Kalau ada orang letak dadah dalam beg dia, macam mana?

"Sekarang ini macam-macam boleh berlaku. Orang sanggup buat apa saja. Banyak kes kita dengar membabitkan remaja berusia 18 tahun yang terperangkap di Kemboja kerana diperdaya menjadi keldai dadah atau menjadi mangsa 'scammer'.

"Saya tak tahu bila dia memperbaharui pasport yang sudah tamat tempoh daripada simpanan saya. Tahu-tahu dia dah sampai Singapura tanpa kebenaran. Saya bukan nak halang kalau dia nak pergi, tapi seeloknya beritahu saya atau ayahnya," katanya.

Menurut Sharifah, sehingga kini dia masih tidak mengetahui anaknya bersama siapa di Singapura.

"Sampai sekarang saya tak tahu siapa rakan dia sebab dia selalu bermain permainan dalam talian. Saya juga tak tahu dengan siapa dia berkomunikasi selama ini.

"Cuma saya selalu ingatkan supaya hati-hati memilih kawan. Saya harap insiden ini menjadi iktibar kepada ibu bapa lain agar memantau aktiviti dan pergerakan anak-anak," katanya.

Dalam masa sama, Sharifah berkata, anaknya hanya mengalami luka kecil di bahagian dahi, hidung dan kaki serta patah gigi.

"Saya sudah minta suami hantar anak pergi buat x-ray sebab risau walaupun cuma cedera ringan. Alhamdulillah keputusan x-ray semua okey.

"Saya tahu dia terbabit kemalangan selepas nampak ada luka di bahagian dahinya walaupun dia tutup dengan rambutnya yang panjang itu, Bila saya tanya, katanya jerawat, tetapi saya tahu itu adalah kesan luka atau dia bergaduh dengan sesiapa," katanya.

Airell berada di Singapura sejak Jumaat lalu bagi menghadiri festival animasi tanpa memberitahu perkara sebenar kepada ibu bapanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seramai 16 daripada 27 penumpang termasuk warga Singapura cedera dalam kejadian itu.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Azman Md Dawam berkata, dalam kejadian itu, bas ekspres terbabit merempuh belakang sebuah treler.

Katanya, semua mangsa yang cedera diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital menaiki ambulans dan kenderaan EMRS untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 8:45 PM