Irene Cara
Irene Cara
Agensi

Florida, Amerika Syarikat : Penyanyi dan pelakon, Irene Cara, 63, ditemui meninggal dunia di dalam rumahnya di Florida, semalam.

Berita sedih itu disahkan pegawai publisitinya, Judith Moose selepas ramai pihak tidak percaya dengan berita pemergiannya itu.

"Dengan rasa sedih mendalam, saya mengumumkan pemergian Irene Cara bagi pihak keluarganya.

"Pelakon, penyanyi, penulis lagu dan penerbit yang pernah memenangi Academy Award itu meninggal dunia di rumahnya di Florida.

"Punca kematian belum diketahui dan akan dikeluarkan apabila maklumat tersedia," kata Moose dalam satu kenyataan.

Menurut Moose, buat masa ini keluarga mendiang memohon diberikan ruang dan privasi susulan berita yang amat mengejutkan ini.

"Cara memiliki jiwa dan sangat berbakat. Warisan ditinggalkan akan kekal selama-lamanya menerusi muzik dan filemnya," katanya.

Difahamkan, penyanyi kelahiran New York itu sedang membuat persiapan untuk projek terbarunya dan pengurusnya dilaporkan akan menyambung baki kerja yang tertunggak.

Kerjaya Cara mula dikenali ramai selepas membintangi filem Fame pada 1980. Watak Coco Hernandez yang ditulis khas buatnya, selain menyanyikan lagu runut bunyi.

Cara memenangi Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik di Grammy Award menerusi lagu runut bunyi filem itu.

Kemudiannya, lagu Flashdance...What A Feeling dihasilkan bersama Giorgio Moroder dan Keith Forsey untuk filem Flashdance pada 1983.

Filem itu dibintangi Jennifer Beals dan lagu What A Feeling begitu sinonim dengan namanya.

Lagu Flashdance...What A Feeling melonjakkan nama Cara sehingga menggenggam Academy Award menerusi kategori Lagu Asal Terbaik pada 1984.

Ia kekal sebagai salah satu hits ikonik dari 1980-an.

Cara pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon lagak ngeri yang juga pengarah filem, Conrad Palmisano di Los Angeles pada April 1986. Bagaimanapun, mereka bercerai pada 1991.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 7:38 AM