SELEPAS 16 tahun filem Remp-it kembali dengan sekuel kedua.
SELEPAS 16 tahun filem Remp-it kembali dengan sekuel kedua.
Najiy Jefri


PELUANG keemasan ketika menjayakan watak tokoh politik yang kini Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jakarta, Indonesia dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Farid Kamil.

Sebagai penerbit, pengarah dan pelakon untuk filem Remp-it 2, Farid mengambil peluang mendekati pelakon dan syarikat produksi Indonesia mengenai idea filemnya itu.

Farid berkata, pihak sana memberikan reaksi positif apabila menyatakan hasrat menayangkan Remp-it 2 di Indonesia.

"Ketika menjayakan penggambaran filem Anwar di Jakarta, saya berkesempatan menayangkan 'teaser' Remp-it 2 kepada mereka.

"Alhamdulillah, saya menerima maklum balas positif. Mereka sukakan filem ini kerana genre permotoran tidak pernah ditayangkan di Indonesia. Apabila saya bertanya sama ada peluang filem Remp-it 2 ditayangkan di seberang, mereka kata ia boleh diterima.

"Malah, ketika saya muat naik teaser Remp-it 2 di Instagram, pempengaruh media sosial banyak bercerita mengenai perlumbaan motosikal turut membantu 'repost'," katanya.

Remp-it 2 adalah sambungan Remp-it yang dihasilkan pada 2006.

FILEM Remp-it 2 menemui penonton di pawagam bermula kelmarin.
FILEM Remp-it 2 menemui penonton di pawagam bermula kelmarin.

Selain Farid, filem terbabit turut dijayakan oleh Cat Farish, Ahirine Ahirudin, Julia Hana, Izzue Islam, Niezam Zaidi, Farez Ridzwan, Shiha Zikir, Chiwan Chilok, Mamak Puteh, Rudy GTB, Gabit Saleh dan Shahkimin.

Ia juga penampilan sulung anaknya, Muhammad Kamil.

Ditanya mengapa mengambil tempoh lama iaitu sehingga 16 tahun untuk muncul dengan sekuel, Farid berkata, modal menjadi faktor penangguhan filem itu.

"Sejak dulu saya menanam cita-cita mahu menerbitkan filem Remp-it 2 di bawah syarikat saya sendiri iaitu FKX Film dan kini ia terlaksana. Saya yakin filem permotoran ini masih relevan dan mempunyai penonton serta pengikut tersendiri.

"Mengenai tempoh masa 16 tahun untuk menerbitkan sekuel ini kerana saya mahu mengumpul modal terlebih dahulu. Lagipun dalam filem ini, saya bukan sekadar bertindak sebagai pelakon, tetapi turut menjadi pengarah dan penerbit," katanya.

Menurut Farid, penggambaran Remp-it 2 dilakukan pada 2019 dan menjalani penggambaran selama 55 hari.

FARID bertindak sebagai penerbit, pengarah dan pelakon utama dalam Remp-it 2.
FARID bertindak sebagai penerbit, pengarah dan pelakon utama dalam Remp-it 2.

"Kami menjalani penggambaran di sekitar Johor Bahru, Pahang, Terengganu, Melaka dan Kuala Lumpur. Menariknya lagi, ada adegan seperti perlumbaan Asian Racing. Malah, penggambaran filem ini juga dapat dibuat ketika hari perlumbaan sebenar berlangsung seperti Asian Racing di Sepang dan Cub Prix Malaysia di Terengganu.

"Selain itu, kami menggunakan lebih 1,000 motosikal untuk penggambaran termasuk pelakon utama dan tambahan," katanya.

Filem Remp-it 2 mula ditayangkan sejak kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 6:20 AM