FARID Kamil.
FARID Kamil.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

“TUDUHAN yang dilemparkan ke atas saya sangat melampau. Saya tidak mengetepikan ahli Spark tetapi Zulhuzaimy yang menolak mereka,” kata pelakon dan pengarah filem Datuk Farid Kamil.

Dia memberi jawapan balas apabila Zulhuzaimy menarik diri daripada menjayakan filem Remp-It 2 tanpa penyertaan pelakon tambahan daripada Kelab Spark Malaysia.

Farid ketika dihubungi berkata, dia memiliki bukti dan rekod bahawa Zulhuzaimy tidak mahukan ahli kelab berkenaan terbabit dalam projek itu.

“Dalam pertemuan bersama Zulhuzaimy di pejabat penaja baru-baru ini, saya cadangkan bawa ahli Spark tetapi Zulhuzaimy tidak terima. Dia cakap jangan kaitkan mereka dalam filem ini dan biar dia sahaja berlakon,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai skrip filem katanya, ia lanjutan daripada filem Rempit yang diarahkan Ahmad Idham pada 2006.

“Saya penulis asal dan berjaya mendapatkan hakcipta daripada David Teo. Kami bersama-sama berlakon dalam Rempit dan sepatutnya menjayakan Remp-It 2,” katanya.

Menurutnya, selepas memohon dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) dia membuka langkah bagi mendapatkan tajaan FKX Film Sdn Bhd.

“Saya tidak tahu kenapa timbul isu pemilikan bagi filem baru. Selaku pengarah, saya mendapati skrip tidak bersesuaian dengan filem aksi berdurasi 95 minit.

“Oleh itu, ia memerlukan jalan cerita baru dan beberapa pelakon lama ketika filem pertama dihasilkan 13 tahun lalu,” katanya.

Farid menjelaskan, dia mempelawa Zulhuzaimy membintangi filem itu dengan bayaran tinggi namun ditolak.

“Sebenarnya saya cuba mengembalikan semula Zulhuzaimy ke layar perak biarpun ditentang pihak produksi. Sepatutnya dia tidak menguar-uarkan masalah dalaman ini dan menerima tawaran yang diberi,” katanya.

Farid turut menolak dakwaan bahawa dia ibarat kacang lupakan kulit termasuk ahli kelab itu mengumpul dana bagi membantunya di mahkamah.

“Saya sendiri membiayai kos mahkamah dan hanya keluarga saya yang dibenarkan datang ke balai polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 7:29 PM