Nad Zainal
Nad Zainal
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Doktor belum dapat mengesan punca menyebabkan berlaku perdarahan berterusan dalam paru-paru pelakon, Nad Zainal yang kini dalam keadaan kritikal di sebuah pusat perubatan di Ampang, di sini.

Pelakon yang juga rakan Nad, Ungku Ismail ketika ditemui berkata, doktor juga tidak pasti sama ada ia berpunca daripada kencing tikus atau jangkitan bakteria lain memandangkan Nad tidak mempunyai gejala yang dikaitkan.

Katanya, doktor turut memaklumkan Nad kini mengalami autoimun iaitu di mana sistem imun tubuh seseorang menyerang sel atau tisunya sendiri.

Menurut Ungku Ismail, setakat ini empat doktor masih lagi memantau keadaan pelakon itu selain perlu dirawat menggunakan dos steroid yang tinggi.

Ditanya mengenai keadaan Nad, Ungku Ismail berkata, pendarahan masih lagi berlaku.

"Yang pasti pendarahan berterusan, secara 'on and off'. Jadi, doktor sedang berhempas pulas mengeluarkan darah yang berkumpul dalam paru-paru.

"Bermacam-macam ubat sudah diberikan termasuk antibiotik, namun tidak memberi apa-apa kesan atau tindak balas terhadap jangkitan yang dialami," katanya.

Sementara itu, pengarah terkenal, Shahrulezad Mohameddin ketika ditemui meminta semua pihak mendoakan yang terbaik buat Nad.

"Kita sama-sama doakan agar Nad kembali sembuh dan semoga Allah akan kembalikan dia kepada kita semula. Sebagai rakan saya terharu apabila ramai dalam kalangan penggiat seni yang turut hadir termasuk ahli keluarga Nad untuk memberi semangat kepadanya.

"Keluarga Nad juga sudah dipanggil untuk melawatnya, manakala rakan-rakan penggiat seni setia memantau perkembangannya di hospital," katanya.

Barisan penggiat seni tanah air yang hadir antaranya Sharifah Amani, Nadia Aqilah, Sherry Alhadad, Aliff Aziz dan isterinya Bella Astillah, Didie Alias, Sharifah Sakinah, Nadiya Nisaa, penerbit Fazli Baharom dan ramai lagi.

Bekas suaminya, Faliq Amiruddin turut hadir bersama anak mereka.

Terdahulu, Nad dilaporkan dimasukkan ke ICU pusat perubatan berkenaan sejak dua hari lalu akibat masalah paru-paru berdarah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 7:32 PM