Shah (kanan) iringi Zamani jayakan persembahan.
Shah (kanan) iringi Zamani jayakan persembahan.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pemain gitar utama kumpulan Slam, Shah memaklumkan penyanyi mereka Zamani sah menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit scoliosis di pusat perubatan Sunway Medical Centre Velocity, Cheras seperti yang diberitahu sebelum ini.

Menurutnya, dia sempat menghubungi Zamani sekitar jam 8 pagi tadi dan mereka sempat berbual sebentar.

"Zamani beritahu dia sedang standby untuk dipanggil doktor masuk bilik pembedahan pada bila-bila masa. Rasanya sekarang dia sudah mula menjalani pembedahan yang dijangka bermula jam 9 pagi tadi. Dia beritahu pembedahan ambil masa sekitar empat hingga enam jam. Saya pun tak nak ganggu dia sangat. Cuma saya minta apabila keadaannya stabil, maklumkan perkembangan terbaru kepada saya," katanya. Shah menerusi Instagramnya meminta peminat mendoakan keselamatan Zamani.

"Mari kita doakan moga pembedahan abang Zamani Slam lancar. Moga Allah permudahkan urusan beliau dan keluarga beliau, dihilangkan kegusaran dalam hati dan dikurniakan rezeki. Aamiin," tulisnya.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan perkembangan terkini Zamani tidak berjaya apabila isterinya, Nur Juliana belum memberikan sebarang respon setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 1:41 PM