EXISTS ingin mengembalikan semula momen indah bersama peminat di Singapura.
EXISTS ingin mengembalikan semula momen indah bersama peminat di Singapura.
Ridzuan Abdul Rahman


KONSERT Exists Reunion di Singapura pada 5 Oktober 2019 meninggalkan kesan yang bukan sedikit buat peminat di negara terbabit.

Bermula daripada tiket yang laris terjual dalam masa hanya dua hari, sambutan hangat jelas terlihat semasa konsert ini berlangsung di The Theatre Mediacorp.

Kerinduan peminat terlerai sebaik menyaksikan kemunculan Mamat (penyanyi), Ezad (penyanyi), Ajai (keyboard), Along (gitar), Musa (bass), Shah (gitar) dan Ujang (dram) yang berjaya memberikan kenangan terindah buat mereka.

Peminat turut sama menyanyi mengiringi nyanyian Mamat dan Ezad sepanjang persembahan berlangsung dari awal sehingga akhir.

Ia sekali gus mewujudkan apa yang dikatakan medan karaoke berskala besar antara Exists Reunion dengan peminat mereka.

Melihatkan sambutan hangat ini, penganjur Shiraz Projects akan membawakan semula detik indah terbabit di lokasi sama tahun depan.

Justeru, Exists Reunion akan menggegarkan Singapura semula dengan kehebatan mereka pada 14 Januari tahun depan.

Pengarah Urusannya, Shirazdeen Karim berkata, dia sukar melupakan kenangan menganjurkan konsert terbabit sampai bila-bila.

"Menyaksikan penonton menyanyi bersama-sama di Konsert Exists Reunion di Singapura adalah antara kenangan terindah kami, sama seperti di Stadium Malawati di Shah Alam sebelumnya.

"Untuk itu, kami bawakan konsert ini kembali kerana mengerti dengan kerinduan peminat yang sudah menunggu kehadiran Exists Reunion usai pandemik melanda dunia.

"Tak dinafikan Shiraz Projects sering mendapat pertanyaan bilakah lagi Exists Reunion akan kembali lagi ke Singapura dan menyemai detik indah bersama peminat dengan lagu malar segar mereka," katanya.

Shirazdeen berkata, pihaknya memahami kerinduan yang peminat rasakan dan seterusnya kembali membawakan Exists Reunion ke The Theatre at Mediacorp, Singapura sebagai lokasi pertama dalam rangkaian siri jelajah Exists Reunion pada 2023.

"Ia seterusnya akan berlangsung di banyak lokasi lain yang akan diumumkan kelak. Namun, buat masa sekarang kami ingin memberikan berita baik ini kepada peminat di Singapura dahulu," katanya yang teruja dengan sambutan peminat terhadap konsert terdahulu.

Tidak terkecuali, anggota kumpulan yang ditubuhkan di Johor Bahru pada 1991 ini juga sangat teruja untuk bertemu mata dan berkongsi tenaga menyanyi bersama-sama peminat di Singapura tahun depan.

Sementara itu, Ajai berkata, mereka sentiasa teruja dan menghargai sokongan yang diberikan semua peminat di Singapura.

"Ketika kali pertama kami muncul di Singapura atas nama Konsert Exists Reunion, sambutan yang diberikan sangat membuatkan kami terharu. Oleh itu, kami ingin kembali lagi untuk sama-sama membina detik indah bersama peminat yang tidak putus-putus menyokong perjalanan karier kami," katanya.

Sebelum ini Konsert Exists Reunion buat pertama kalinya dalam sejarah menggabungkan semua formasi asal Exists pada 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam dan The Theatre at Mediacorp.

Konsert Reunion Exists menjanjikan sebuah nostalgia buat peminat kerana ini adalah lokasi pertama mereka dalam rangkaian jelajah yang akan berlangsung pada 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 6:35 AM