MAMAT dan Ezad dalam sesi ujian bunyi konsert Reunion Exists di Stadium Malawati Shah Alam malam ini. FOTO Saddam Yusoff
MAMAT dan Ezad dalam sesi ujian bunyi konsert Reunion Exists di Stadium Malawati Shah Alam malam ini. FOTO Saddam Yusoff
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


GARA-GARA kontroversi kes dadah membabitkan Mamat, jualan tiket bagi konsert Exists Reunion meningkat 100 peratus.

Pengarah Urusan Shiraz Project, Shirazdeen Karim berkata, sebelum bekas vokalis kumpulan Exists itu ditahan polis di Taman Perling Jaya, Johor Bahru pada 8 September lalu, jualan tiket bagi konsert itu adalah 2,000 keping.

"Setakat hari ini, jualan tiket adalah 4,000 keping dan berlaku peningkatan 100 peratus.

"Sebelum konsert berlangsung pada Sabtu ini, kami menyasarkan jualan sehingga 5,000 tiket," katanya pada sidang media bagi sesi ujian bunyi untuk konsert itu di Stadium Malawati, Shah Alam, malam ini.

Katanya, persediaan konsert itu sudah mencapai 95 peratus dan ia berbaki lima peratus untuk disempurnakan.

Sementara itu Ajai menzahirkan keterujaan menjayakan persembahan kerana mengembalikan kegemilangan Exists.

"Konsert reunion ini mungkin kali pertama dan terakhir kerana bukan mudah menghimpunkan bekas anggota yang menyiapkan album penuh.

"Sebanyak 24 lagu hit akan dipersembahkan sejak 1990 antaranya Mengintai Dari Tirai Kamar, Alasan, Jesnita dan Julia," katanya.

Menurutnya, persembahan itu juga akan dirakam untuk dimasukkan ke dalam cakera padat (CD) serta dihasilkan dokumentari.

"Konsert ini sangat istimewa kerana ia 'Ini Kali Saja' selain ada sesi karaoke bersama peminat dengan lirik disediakan," katanya.

Katanya, konsert itu menuntut keserasian, komitmen dan kesungguhan semua pihak.

Ezad dalam pada itu menzahirkan kesyukuran kerana impiannya untuk berkumpul bersama semua anggota kumpulan itu menjadi kenyataan.

"Kami mengharungi pelbagai suka dan duka, bersama, berpecah, berselisih faham dan bergaduh. Akhirnya kami dikumpulkan atas satu pentas," katanya.

Bagi Musa, berbaki dua hari sebelum persembahan, mereka bimbangkan masalah kesihatan yang datang secara tiba-tiba termasuk keracunan makanan.

"Kami akan menjaga diri dan memberikan yang terbaik buat peminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 11:11 PM