Abang sulung Uyaina Arshad, Mohd Attaful Uzair Arshad yang meninggal dunia malam tadi (kanan). Uyaina (kiri). FOTO Uyaina
Abang sulung Uyaina Arshad, Mohd Attaful Uzair Arshad yang meninggal dunia malam tadi (kanan). Uyaina (kiri). FOTO Uyaina
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Rasa terlalu perit dan sakit nak diungkap dengan kata-kata. Kehilangan seorang insan yang terlalu baik," kata pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad mengenai pemergian abang sulungnya, Mohd Attaful Uzair Arshad, 35, yang meninggal dunia akibat serangan jantung, malam tadi.

Menurut suami Uyaina iaitu Raja Syahiran, Allahyarham meninggal dunia ketika berbasikal kira-kira jam 9 malam tadi.

Uyaina menerusi Instagram berkata, tidak menyangka abangnya dijemput Ilahi pada usia yang masih muda.

"Baru semalam kami berjumpa. Makan, bersembang dan ketawa sama-sama .Macam-macam juga dia pesan. Dia risaukan adiknya nak bersalin. Rupa-rupanya dia yang pergi dulu.

"Rasa tak percaya dia dah tak ada. Terlalu awal dia pergi. Sama usia dengan arwah baba (bapa) sewaktu dia meninggal dunia.

"Saya kehilangan darah daging yang terlalu kami sayang. Hari ini, 19 Ogos adalah hari jadi ummi. Lama dia rancang nak sambut ulang tahun ummi. Akhirnya, hari lahir ummi diiringi dengan pemergian anak ulungnya. Allahuakbar," tulisnya.

Menurut Uyaina, abangnya yang juga seorang doktor di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini, adalah insan yang berhati mulia dan selalu menjadi contoh terbaik buat adik-adiknya.

"Orang baik selalu pergi dulu. Dia sangat baik, terlalu baik. Anak yang baik. Abang yang baik. Suami yang baik. Ayah yang baik.

"Lepas arwah baba meninggal dunia, dia jadi ketua keluarga. Dari kecil lagi dia dah tunjukkan contoh yang baik untuk kami adik-adik. Dia masuk asrama. Kami semua nak masuk asrama. Dia berjaya dalam pelajaran. Kami semua nak berjaya dalam pelajaran. Dia sentiasa dahulukan ummi. Kami adik-adik berebut nak berbakti untuk ummi. Dia baik, pemurah dan penyayang.

"Abangku Uzair, semoga syurga menantimu. Minta kalian semua hadiahkan Al-Fatihah buat Mohd Attaful Uzair Arshad. Doakan juga kesejahteraan dan kekuatan buat isteri dan anak-anaknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 9:52 AM