Pelakon, Lan Siro kini menoreh getah.
Pelakon, Lan Siro kini menoreh getah.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 memaksa pelakon, Lan Siro kini menyara hidup dengan menoreh getah di kampungnya di Temerloh, Pahang dengan pendapatan RM20 sehari. 

Dugaan buat Lan, 40, atau nama sebenarnya Azlan Mokhtar juga apabila dia bercerai dengan isteri pada November 2020 selepas lapan tahun berkahwin. 

"Saya dah solo sekarang. Dah hampir dua tahun berpisah dengan isteri. Dua anak dengan bekas isteri. Ini adalah dugaan PKP. Saya antara yang berpisah masa PKP. Mungkin jodoh tak panjang kan. 

"Namun, saya bersyukur walaupun tidak ada tawaran berlakon sekarang, Allah dah atur elok. Ada saja peluang lain Allah bukakan untuk mencari rezeki. Selagi terdaya saya buat saja kerja apa pun. Dapat bagi nafkah untuk anak-anak dan bagi orang tua sikit cukuplah. 

"Ceritanya bermula sewaktu PKP yang pertama hingga yang terakhir. Masa itu memang tak ada penggambaran dan saya balik ke kampung buat kerja kebun dan menoreh getah. Alhamdulillah getah dan tanah sendiri, tapi taklah luas mana dalam dua ekar saja. Bolehlah menampung kehidupan walaupun dalam satu hari itu boleh buat dalam RM20 saja. Harga getah pula tak menentu. Contoh getah sekerap hari ini RM3 sekilogram, selang dua tiga hari menurun dan ada masa naik. Kalau tak hujan boleh dapat RM30," katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Lan, dia tidak lagi boleh bergantung harap pada kerjaya lakonan semata-mata hingga membuatkan dia perlu melakukan banyak kerja pada satu masa. 

"Saya tak boleh nak bergantung dengan bidang lakonan semata-mata sebab bermula PKP itu 'job' (tawaran berlakon) tak ada jadi saya kena fikir apa sumber lain yang boleh saya buat untuk ada pendapatan. Saya ada tanggungan, jadi nak tak nak kena usaha. Itu yang saya balik kampung untuk usahakan di kebun. 

"Tawaran berlakon terakhir saya dapat dalam awal Ramadan tempoh hari. Itu kali terakhir saya terbabit dalam penggambaran selepas itu tak ada 'job'. Saya masih duduk di Kuala Lumpur tapi saya berulang alik ke kampung. Kalau saya tak ada buat apa di bandar, saya balik kampung menoreh getah. Saya masih lagi menoreh getah dan buat kerja-kerja kebun yang lain. Saya juga ada buat video tutorial cara menoreh di saluran YouTube sendiri iaitu Pok Lan Channel.  

"Buat masa sekarang pula saya ada buat perniagaan kecil-kecil. Adalah jual 'bundle' macam kasut dan beg. Saya tak salahkan industri hiburan sebenarnya sebab perkara ini kita tak tahu. Jadi saya tak salahkan mana-mana pihak. Mungkin bukan rezeki saya. Selain itu, sekarang ini ada nak mencuba untuk buat penternakan kambing dengan kawan-kawan di kampung. Syukur walaupun tak mewah tapi adalah rezeki itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 11:31 AM